TAS 2024: Mugen bakal tampilkan Civic Type R FL5 yang lebih agresif!

oleh Danial Yasin Suhaimi|
Dengan lebih 50 tahun pengalaman dalam bidang penalaan dan sukan permotoran, syarikat penala terkenal iaitu Mugen bakal mempamerkan hasil kerja terbaharunya untuk jentera idaman ramai, iaitu Honda Civic Type R FL5.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Syarikat penala Jepun itu bakal mempamerkan dua buah Civic FL5 dengan hasil modifikasi terbaharunya yang akan menampilkan kemas kini kit badan dan juga beberapa talaan prestasi ringan.

Dua buah Civic FL5 itu akan diperkenalkan dengan dua pakej modifikasi yang diberi nama Group A dan Group B, namun perinciannya belum didedahkan sepenuhnya.

Untuk Group A, ia didatangkan dengan pakej yang lebih ringan, di mana Mugen telah menambahkan kit badan yang lebih agresif, merangkumi splitter hadapan, skirt sisi dan spoiler belakang dengan rekaan baharu.

Sementara pakej Group B menerima tambahan yang lebih banyak bersama bahan yang diperbuat dari gentian karbon.

Bahagian atas fender hadapan turut ditambah dengan bukaan liang udara tambahan untuk mengoptimumkan lagi aliran udara.

 

2

 

Bukan hanya rupa semata-mata, Mugen telah menala setiap kit tambahan itu dengan pengiraan dinamik bendalir bagi meningkatkan lagi aerodinamik Civic Type R FL5.

Pakej naik taraf diteruskan dengan pembangunan komponen prestasi baharu untuk Civic Type R FL5, antaranya sistem suspensi dan rim forged dari BBS bersaiz 19 inci.

Untuk pakej Group A, ia didatangkan dengan ekzos keluli tahan karat dan brek pad baharu, manakala pakej Group B didatangkan dengan paip ekzos titanium, bersama tambahan angkup brek dan rotor baharu.

Pada bahagian dalaman pula, Civic Type R FL5 itu akan dilengkapi dengan roda stereng baharu bersama logo Mugen di bahagian bawah, tempat duduk bucket, tombol gear baharu dan trim karbon pada konsol tengah.

Harga bagi setiap komponen Mugen itu akan diumumkan pada acara TAS 2024 yang akan berlangsung pada 12 hingga 14 Januari 2024.

Pastinya sudah ada pemilik Civic Type R FL5 yang tidak sabar untuk mendapatkan jajan-jajan prestasi Mugen tersebut.

 

 

Berita Berkenaan

Sukan Bermotor
Pasukan yang dikenali dengan nama Team Spoon itu akan berlumba menggunakan jentera Honda Civic Type…
Pelancaran
Difahamkan, hanya 19 unit sahaja Honda Civic Type R yang akan dibawa untuk tahun ini, dan pelanggan…
Berita Global
Di Amerika Syarikat, Honda telah menghentikan sementara penjualan bagi model tersebut disebabkan…