TAS 2024: Honda pamer WR-V Field Explorer Concept, Accord e:HEV Sports Line

oleh Mohamad Hanif|
Honda baru-baru ini mengumumkan barisan model yang bakal dipamerkan pada acara Tokyo Auto Salon 2024 yang akan berlangsung pada bulan depan.
AION MREC Banner Campaign May 2024

Yang mungkin mencuri tumpuan para pengunjung ialah kehadiran dua buah model baharu, iaitu Honda WR-V Field Explorer Concept dan sedan Honda Accord e:HEV Sports Line.
 

WRV


Honda WR-V yang dipasarkan di Jepun sebenarnya merupakan versi tukar nama daripada model crossover Honda Elevate di pasaran India.

Konsep “Field Explorer” yang dibawakan ini menampilkan rekaan jeriji baharu dengan perkataan HONDA, diikuti dengan unit lampu penanda LED, lampu kabus berwarna kuning, serta aksen hitam menggantikan trim krom dan aluminium pada model standard.

Bukan itu sahaja, WR-V ini turut dipadankan dengan rim hitam yang dibaluti tayar off-road, pelindung skirt sisi dan juga pemasangan rak pada bahagian bumbung.
 

accord


Sebuah lagi model yang bakal muncul ialah sedan segmen D Honda Accord e:HEV Sports Line (perasan tak? rupa macam Audi, nama trim pun dah macam Audi sikit).

Honda Accord e:HEV Sports Line ini membawakan penampilan yang lebih sporti, terima kasih kepada rim aloi 19 inci dengan kemasan gelap, diikuti dengan komponen aerodinamik yang turut dipadankan dengan warna hitam berkilat.

Sedan ini bakal tiba di pasaran Jepun pada musim bunga 2024, eksklusif dengan penawaran trenkuasa hibrid e:HEV sahaja.
 

Gr B


Selain daripada dua model yang disebutkan tadi, Honda juga akan mempamerkan beberapa buah model kustom berasaskan Civic. 

Antaranya termasuklah Honda Civic Type R Gr. A dan Gr. B, jentera lumba Type R-GT (Super GT), Type R CNF-R, serta sebuah lagi jentera Civic Type R yang digelar sebagai ‘Joy Resistance’ dengan kehadiran pakej aero yang agresif dan trenkuasa hibrid.

Tokyo Auto Salon 2024 bakal berlangsung di Mahuhari Messe, Chiba Prefecture bermula dari 12 hingga 14 Januari 2024.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Untuk mereka yang tidak biasa dengan frasa Morizo itu, ia sebenarnya merupakan nama samaran yang…
Berita Global
Bertempat di Tokyo Auto Salon 2024, TOM's Racing mempamerkan sebuah Supra JZA80 yang telah…
Berita Global
Berucap di pentas Tokyo Auto Salon 2024 yang baharu sahaja melabuhkan tirainya, beliau mengumumkan…