Tarikh akhir serah cadangan konsep projek HSR dilanjut ke 15 Januari

oleh Penyumbang Rencana|
gambar hiasan
Tarikh akhir bagi penyerahan permintaan maklumat (RFI) bagi cadangan konsep projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR KL-SG) dilanjutkan sehingga 15 Jan, 2024 daripada tarikh asal pada 15 November 2023.

Ini berikutan permintaan daripada pemain industri antarabangsa dan tempatan dalam beberapa minggu kebelakangan ini, kata MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR Corp).
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Syarikat itu berkata dalam satu kenyataan bahawa lebih 60 peratus syarikat, yang menyatakan komitmen mereka untuk menyerahkan cadangan konsep projek itu, memohon agar masa dilanjutkan berikutan mereka memerlukan lebih masa untuk membentuk konsortium bersama rakan kongsi berpotensi dan mencari pilihan kewangan.

MyHSR Corp memaklumkan, ia telah memberi taklimat RFI pada 27 Julai 2023 untuk projek tersebut, yang menarik lebih 700 penyertaan tempatan dan asing.

Pada taklimat itu, ia berkongsi gambaran keseluruhan proses RFI, termasuk garis masa untuk firma tempatan dan antarabangsa serta konsortium bagi mengemukakan cadangan konsep projek HSR KL-SG berdasarkan inisiatif perkongsian awam-swasta dan melaksanakan projek itu berdasarkan model 'design-finance-build-operate-transfer' (DFBOT).

Firma dan konsortium yang mengambil bahagian juga perlu menunjukkan kepakaran teknikal dan keupayaan keseluruhan untuk membangunkan dan mengendalikan sistem infrastruktur utama ini dengan sumber yang diperlukan dan dalam kos, kualiti dan masa yang dianggarkan.

Mereka juga perlu menunjukkan model komersial dan perniagaan yang berdaya maju serta rangka kerja konsortium dan tadbir urus, kata MyHSR Corp.

Ketua Pegawai Eksekutif MyHSR Corp, Datuk Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal, berkata sambutan yang positif daripada penggiat industri memberikan galakan kepada syarikat itu apabila lebih 30 salinan dokumen RFI dibeli oleh firma tempatan dan antarabangsa setakat ini.

"Kami faham syarikat memerlukan lebih banyak masa untuk menghasilkan cadangan berkualiti bagi projek HSR KL-SG yang akan menjadi pemacu pertumbuhan dan dorongan yang amat diperlukan dalam memangkin trajektori ekonomi Malaysia.

"RFI itu menandakan inisiatif kerajaan untuk mengaktifkan semula projek HSR KL-SG melalui mekanisme pembiayaan dan model pelaksanaan baharu dalam usaha menambah baik lagi infrastruktur pengangkutan rel dan menggiatkan ekonomi negara," katanya.

Pengerusi MyHSR Corp, Datuk Seri Fauzi Abdul Rahman, berkata projek itu merupakan penggerak utama kepada objektif rangka kerja Ekonomi Madani seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri.

"Ia mempunyai pelbagai faedah ekonomi, sosial dan alam sekitar yang bukan sahaja akan meningkatkan daya saing dan kemampanan jangka panjang negara tetapi juga memastikan pembangunan wilayah yang saksama dan meningkatkan kebolehcapaian ke bandar peringkat kedua dan ketiga kita," katanya.

Maklumat mengenai RFI itu boleh didapati di laman web MyHSR Corp di https://www.myhsr.com.my/rfi.

 

Bernama

Berita Berkenaan

Informasi
Katanya, firma yang menghantar RFI itu termasuk beberapa syarikat pengangkutan utama dari China dan…
Informasi
Mengikut laporan agensi berita Jepun, Kyodo News yang memetik sumber, syarikat negara itu…
Informasi
Menteri Kedua Hal Ehwal Luar republik itu, Dr Mohamad Maliki Osman berkata, pihaknya akan membuka…