Tak gusar dengan pasaran recond - Mark Raine, Mercedes-Benz Malaysia

oleh HEZERI SAMSURI|
LEXUS MREC Banner Campaign August 2024

Sebut sahaja pasaran baik-pulih terpakai atau reconditioned (recond), kebanyakan syarikat kereta akan terus mengeluh.

Ada yang akan menghempas tangan ke meja pun kerana terlalu marah dan geram.

Begitulah padangan mereka terhadap pasaran recond, tetapi untuk berlaku adil, sebuah syarikat kenderaan yang rasmi  perlu melakukan pelaburan jutaan RM untuk:

  1. Penyediaan premis seperti dewan pameran dan pusat servis
  2. Pembelian stok alatganti
  3. Latihan teknikal untuk bahagian jualan dan khidmat selepas jualan
  4. Pengambilan pekerja-pekerja mahir
  5. Pembelian iklan dan promosi
  6. Penyediaan teknikal untuk homologasi kenderaan agar dibenarkan masuk ke dalam pasaran negara
  7. Dan pelbagai lagi kos-kos lain

Syarikan recond lebih merupakan sebuah syarikat kenderaan terpakai dan walaupun cukai yang dikenakan terhadap mereka semakin tinggi, tetapi kos perniagaan mereka jauh lebih rendah.

Mereka juga tidak perlu menurut homologasi secara keseluruhan. Kerana itu harga jualan kenderaan recond juga lebih rendah dari kenderaan baharu dan kerana kenderaan recond belum didaftarkan dan ia "diperbaiki" agar nampak seperti baharu, ramai yang beranggapan ia adalah sebuah kereta baharu.

 

 

Walaupun terbukti pasaran recond mampu menggugat pasaran kenderaan baharu seperti Toyota Velfire, Toyota Alphard, Toyota Estima, Honda Odyssey, Honda Stream dan pelbagai lagi, pendapat ini tidak dipersetujui sepenuhnya oleh Mark Raine, Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Mercedes-Benz Malaysia (MBM).

Careta yang sempat duduk sebentar bersama Mark ketika di Cameron Highland tempoh hari di mana Mark berkongsi pendapat beliau mengenai pasaran recond.

"Saya lihat berjayanya pasaran recond ialah disebabkan kelemahan kami sendiri," terang Mark, 36 dan juga bapa kepada dua orang cahayamata.

Beliau yang sudah bertugas empat tahun di Malaysia ini memang mengakui ianya adalah satu masalah utama ketika beliau memulakan kerjanya di sini.

"Tetapi saya buat kajian dan saya berkata ia adalah kesalahan kami sendiri."

"Dari kajian saya, pasaran recond hanya mampu menjual varian dan model yang tidak dibawa masuk oleh MBM."

 

 

"Contohnya ialah suatu ketika dahulu, model CLA 250 sangat popular di dalam pasaran recond dan unit terpakai itu diimport masuk dari Jepun. MBM tidak mempunyai varian tersebut," sambung Mark lagi.

"Jadi kami bawa masuk model tersebut dan kami tawarkan pada harga yang lebih sedikit dari unit recond yang berusia lebih dari setahun itu. Kenderaan baharu datang lengkap dengan waranti dan pakej servis yang menjamin harga jual balik yang jauh lebih baik," Mark berkata sambil tersenyum.

Tidak cukup dengan itu, Mark juga tidak mahu melepaskan peluang untuk mengenali pemilik-pemilik kenderaan Mercedes-Benz recond.

"Mereka sebenarnya tetap menyokong jenama kami, walaupun mereka tidak membeli dari kami. Pada pendapat saya, MBM tidak boleh melupakan mereka terus."

"Untuk itu, pemilik recond boleh menghantar kenderaan mereka untuk diservis di pusat servis rasmi Mercedes-benz tanpa perlu membayar apa-apa caj tambahan," terangnya. 

"Malah, setiap kereta Mercedes-Benz memang mempunyai waranti antarabangsa selama dua tahun dan MBM menghormatinya."

Ini sebenarnya satu pendekatan yang baik oleh MBM kerana secara tidak langsung, mereka dapat bertemu dengan pemilik kenderaan recond dan menawarkan mereka pakej terbaik untuk pembelian mereka selepas ini.

"Ia juga membantu kami jika ada proses panggil-semula yang dilakukan. Keselamatan mereka cukup penting kepada kami, tidak kira dari mana mereka membeli Mercedes-Benz mereka."

 

 

Antara pakej kenderaan terpakai yang jauh lebih berbaloi dari belian recond ialah Program Certified Pre-Owned (CPO) Mercedes-Benz.

Kenderaan Mercedes-Benz terpakai dengan kadar perbatuan di bawah 125,000 km akan diterima dan dijual semula dalam program CPO.

Setiap kenderaan akan menjalani proses pemeriksaan 214-point dan diberikan jaminan selama 5-tahun tanpa had perbatuan.

"Kenderaan-kenderaan terpakai dalam program CPO ini datang dari kenderaan trade-in atau dari program Leasing atau pajakan kami sendiri. Semuanya perlu diservis oleh MBM dan kerana itu kami ada rekod selepas jualan lengkap kenderaan-kenderaan tersebut," terang Mark panjang-lebar.

Mark yang mempunyai hobi berbasikal serta mengambil serta dalam acara triathlon ini juga berjaya membuktikan jenama Mercedes-Benz bukan hanya untuk golongan "matang" sahaja.

 

 

"Ini bukan lagi jenama uncle-uncle sahaja. Saya aturkan strategi pemasaran dan dengan bantuan produk-produk kami yang semakin menarik, pembeli Malaysia dari golongan yang lebih muda mula melihat Mercedes-Benz sebagai satu jenama yang agresif dan sesuai dengan cara hidup muda mereka."

"Dan mungkin kerana umur saya masih belum masuk ke dalam kategori uncle, lebih mudah untuk saya mencipta pasaran lebih hip dan cool untuk Mercedes-Benz," kata Mark sebelum beliau menamatkan wawancara.

Mungkin kerana itu kita sendiri boleh lihat model seperti A-Class dan CLA serta GLA digilai oleh muda-mudi tempatan.

Mercedes-Benz Malaysia ditubuhkan pada 1 Januari 2003 dan ia adalah usahasama antara Daimler AG dari Jerman dan Cycle & Carriage Bintang Berhad.

Syarikat MBM kini mempunyai lebih dari 450 orang pekerja dan ia bertanggungjawab di atas kenderaan penumpang Mercedes-Benz, kenderaan komersil Mercedes-Benz Trucks dan Fuso Trucks di Malaysia.

MBM juga mempunyai kilang pemasangan di Pekan, Pahang bersama rakan kongsinya, DRB-Hicom. Kilang yang menelan belanja RM120 juta itu memasang model-model S-Class, E-Class, C-Class, GLC, GLA dan model-model lain.



* Gambar galeri Mercedes-Benz Certified Pre Owned di Hap Seng Star atas ehsan Automachi.com

Berita Berkenaan

Berita Global
  Pemandu juga orang yang sama iaitu Maro Engel, duta jenama Mercedes-AMG dan pelumba DTM. …
Berita Global
  Tahukah anda? Fintail pun ada wagon! Nampak begitu sepadan seolah-olah model fintail dibuat…
Berita Global
"Harga untuk EV telah jatuh, kerana beberapa orang mahu membelinya sekarang," kata Cho, “Ia boleh…