Syarikat minyak dan gas Idemitsu Kosan bakal hasil EV, kos bawah RM40 ribu!

oleh Mohamad Hanif|
Syarikat Jepun Idemitsu Kosan bakal menjadi syarikat bukan pengeluar automotif Jepun pertama yang bakal hadir dengan produk EV tersendiri.

Menurut laporan daripada Nikkei Asian Review, syarikat minyak dan gas itu telah bekerjasama dengan pengeluar kereta lumba Tajima Motor untuk membangunkan EV yang berharga serendah 1 juta yen (RM38,302).

Kenderaan elektrik tersebut bakal diproduksikan di kilang Tajima Motor yang terletak di Wilayah Shizuoka seawal musim luruh ini, sebelum berpindah ke fasiliti yang lebih lengkap.

EV pertama Idemitsu Kosan ini bakal menampilkan dimensi ultra kompak, dengan panjang 2.5 meter dan lebar 1.3 meter yang mampu menempatkan empat orang penumpang pada satu-satu masa.

Binaan badan EV ini diperbuat daripada bahan plastik yang dibangunkan sendiri oleh Idemitsu dengan menggunakan kepakaran mereka di dalam bidang petrokimia, sementara pek bateri pula disumberkan oleh pihak ketiga.

Menurut laporan, dengan kelajuan maksimum 60 km/j dan jarak operasi EV ini bakal dihadkan kepada 100 km sahaja, EV Idemitsu-Tajima ini bakal memberikan manfaat kepada golongan pemandu baharu dan pemandu berusia.

Sementara pengecasan di rumah pula akan mengambil masa kira-kira lapan jam untuk penuh.

Lebih menarik, Idemitsu bakal menjual EV pertama mereka di kesemua 6,400 buah stesen minyak di seluruh Jepun, selain menawarkannya untuk tujuan perkhidmatan perkongsian kenderaan.

Syarikat tersebut turut menjangkakan permintaan terhadap petrol akan menurun untuk tempoh jangka masa yang panjang, dan berharap dengan kemasukan mereka di dalam pasaran EV akan menemukan peranan baharu buat fasiliti stesen minyak yang dimiliki.

Sumber: Nikkei Asean Review

Berita Berkenaan

Berita Global
Kerjasama ini merupakan susulan daripada pengumuman yang dibuat pada Jun lalu, di mana pengeluar…