Kini, generasi keempat Suzuki Swift 2024 sedia untuk menggalas tugas sebagai sebuah kereta kompak yang seronok untuk dipandu, lincah, dan bertenaga.
Terima kasih kepada laporan Car Watch JP, kita kini dapat mengetahui serba sedikit spesifikasi Suzuki Swift yang bakal mula dijual di pasaran Jepun pada tahun hadapan.
Dimensi
Suzuki Swift membawakan ukuran sepanjang 3,860 mm (+15mm), lebar 1,695 mm, tinggi 1,500 mm, dengan jarak antara roda sepanjang 2,450 mm.
Ia masih lagi mengekalkan radius putaran minimum sekecil 4.8 m.
Rekaan
Swift masih lagi mengekalkan identiti rekaan yang wujud pada model terdahulu, seperti titik graviti yang rendah, rekaan fender yang lebih menonjol sementara rekaan bahu pula lebih bulat.
Menariknya, Suzuki Swift baharu ini dikatakan mampu mengurangkan kesan rintangan udara sebanyak 4.6 peratus berbanding model terdahulu.
Suspensi
Suzuki Swift 2024 mengekalkan tetapan topang MacPherson di hadapan, diikuti dengan sistem torsion beam di belakang.
Namun begitu, Suzuki telah membuat perubahan pada bahagian penstabil hadapan, diikuti lejang suspensi belakang.
Tahap ketegaran casis juga turut dipertingkatkan menerusi penggunaan plet keluli berkekuatan tinggi, bertujuan untuk meningkatkan tahap pengendalian dan keselesaan.
Enjin
Suzuki Swift generasi baharu kini dibekalkan dengan enjin tiga silinder sebaris 1.2 liter DOHC (kod Z12E) dengan teknologi VVT yang mampu menghasilkan 82 PS @ 5,700 rpm dan daya kilas 108 Nm @ 4,500 rpm.
Dengan padanan transmisi CVT berkecekapan tinggi, Swift mampu menawarkan penggunaan bahan api 21.8 km/liter (4.59 liter/100 km).
Varian hibrid ringkas pula dilengkapi dengan komponen ISG dan bateri lithium-ion, di mana kadar penggunaan bahan api lebih jimat (24.5 km/liter, atau 4.08 liter/100 km), atau 25.4 km/liter (3.94 liter/100 km) untuk versi manual lima kelajuan.
Keselamatan
Suzuki Swift 2024 membawakan ciri pengelakan pelanggaran Dual Sensor Brake Support II yang menggunakan kamera monokular dan radar gelombang milimeter secara standard untuk semua varian.
Sementara varian hibrid pula datang dengan ciri kawalan jelajah adaptif (ACC), diikuti fungsi pengesanan kenderaan semua kelajuan dan stop hold untuk varian tertinggi.
Pada skrin infohibur, terdapat satu kamera khas yang digunakan untuk memantau keadaan tumpuan pemandu semasa.
Dalaman
Ruang kabin Suzuki Swift membawakan kemasan dua tona pada bahagian papan pemuka, diikuti roda stereng balutan kulit dengan jahitan perak, paddle shifter, skrin paparan kecil antara meter analog, sistem pendingin hawa automatik, brek parkir elektrik serta skrin infohibur sebesar 9 inci.
Tempat duduk pula dibaluti bahan dua tona melange gray/hitam, dimana bahagian tengah menampilkan corak geometri.
Menariknya, tempat duduk pemandu turut disediakan tempat untuk merehatkan lengan kiri.
Ciri yang disebutkan di atas itu hanya khusus untuk varian Hybrid MZ sahaja, dua varian lagi tidak disediakan unit hiburan.
Harga
Suzuki Swift 2024 ditawarkan dalam tiga varian di pasaran Jepun.
Versi asas 1.2L CVT dijual pada harga bermula dari 1,717,000 yen (RM54,475) untuk versi 2WD, atau 1,892,000 yen (RM60,027) untuk versi 4WD.
Sementara varian Hybrid MX pula boleh didapati dalam versi manual 5 kelajuan berharga 1,922,800 yen (RM61,004), atau CVT dengan harga 2,087,800 yen (RM66,239).
Varian tertinggi Hybrid MZ pula dijual pada harga bermula dari 2,167,000 yen (RM68,752) untuk versi 2WD, atau 2,332,000 yen (RM73,987) untuk versi 4WD.
Suzuki Swift 2024 akan mula dijual pada 17 Januari 2024.
Sumber: CarWatch JP