Dalam hal ini, VW mempunyai dua SUV yang hampir sama rekabentuknya tetapi berbeza ukuran. Ibarat adik beradik kembar cuma yang seorang lagi lebih berisi.
SUV yang dimaksudkan ialah VW Tiguan dan VW Atlas.
Tiguan didatangkan dengan lima tempat duduk dan dipasarkan di negara kita manakala Atlas pula lebih besar dengan tujuh tempat duduk dan dipasarkan di beberapa pasaran seperti Eropah dan Amerika Syarikat.
Kini si kembar dua akan jadi kembar tiga.

VW mengumumkan sebuah lagi SUV baharu dan ia diasaskan dari model Atlas dengan beberapa perubahan signifikan.
Perbezaan pertama ialah walaupun dibina dari SUV tujuh tempat duduk, SUV baharu itu nanti hanya dibekalkan lima tempat duduk. Ini bermaknya lebih ruang untuk bagasi.
Perbezaan kedua ialah bentuknya yang trendy ala coupé. Tiang C SUV ini nanti direka pada sudut lebih condong ke bawah yang memberikan gayaan ala sport atau mungkin ibarat Range Rover Evoque.
Sama seperti Atlas, SUV baharu ini dibina berasaskan platform MQB kumpulan VW. Nadi kuasa SUV ini masih belum didedahkan kecuali transmisi lapan kelajuan automatik, sistem pacuan kesemua roda 4MOTION dan suspensi yang selesa.

SUV ini turut dilengkapi dengan pelbagai sistem bantuan pemandua seperti Active Info Display, Adaptive Cruise Control (ACC), amaran pelanggaran dan bantuan brek kecemasan (Front Assist), Automatic Post-Collision Braking System, Blind Spot Monitor, lane keeping system (Lane Assist) dan sistem bantuan parkir (Park Assist).
Sebelum itu kenapakah VW bersungguh-sungguh dalam mengembangkan tawaran SUV nya?
Menjelang tahun 2020, VW mahu menawarkan 19 buah SUV di peringkat antarabangsa dan ia adalah salah satu daripada strategi TRANSFORM 2025+
Oleh itu, VW merancang untuk meng'SUV'kan pelbagai model yang ada dari Polo sehingga kepada model besar seperti Atlas.
Teringat pula pada Proton Wira... dari kereta penumpang, sport, limo hinggalah kepada pikap. Belakang sahaja yang tidak sama.
Penulis: Muhammad Md Tajudin