Super Dron pertama negara guna kepakaran syarikat China, Ehang

oleh Mohamad Hanif|
Super dron atau ‘Kereta terbang’ yang bakal diuji dan dinaiki Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof pada Khamis ini adalah ciptaan bersama syarikat tempatan dan China.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Dikenali sebagai Super Dron, ia menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dan bakal menjadi revolusi pengangkutan udara pertama di dunia.

Super Dron itu dihasilkan menerusi usaha sama EastCap Bhd dengan dua syarikat dari China iaitu EHang Intelligent Equipment (Guangzhou) dan Strong Rich Holdings Limited.

Ia adalah kerjasama strategik bagi memasar, menjalankan operasi dan perkhidmatan serta penyelenggaraan super dron itu di negara ini.

EastCap Bhd adalah sebuah syarikat tempatan dengan Datuk Seri Zakwanhafiz Ahmad Ansari bertindak menjadi Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya.

Struktur Super Dron itu juga tidak sama dengan kereta terbang yang sebelum ini didakwa dibangunkan menggunakan kepakaran tempatan.

Terdapat beberapa keping gambar yang tersebar di laman Twitter yang didakwa sebagai kereta terbang berkenaan. Ia memaparkan sebuah kenderaan dengan kapasiti dua tempat duduk itu berwarna putih dan mempunyai lapan bilah kipas.

 


Berdasarkan carian ringkas di Internet, Ehang merupakan produk dron dan UAV daripada syarikat Beijing Yi-Hang Creation Science & Technology Co., Ltd yang turut memiliki kepakaran di dalam bidang sinematografi udara, fotografi dan juga misi tinjauan. 

Dron penumpang pertama, Ehang 184 memiliki keupayaan swapandu dan semenjak ia diperkenalkan pada tahun 2015, Ehang 184 telah menjalani kira-kira 1,000 ujian penerbangan termasuklah ujian cuaca buruk, penerbangan malam dan juga jarak 300 meter atas tanah. 

Ia hanya mampu membawa seorang penumpang sahaja dan dengan 8 bilah kipas, Ehang 184 ini mampu mencecah kelajuan tertinggi 130 km/j dengan jarak operasi sejauh 16 kilometer sahaja. 

Manakala sebuah lagi dron penumpang, Ehang 216 pula merupakan model baharu yang dibina berdasarkan Ehang 184, akan tetapi dengan lapan lengan dan 16 unit rotor. 

Ehang 216 mampu mencapai kelajuan tertinggi 160 km/j dengan jarak operasi 16 kilometer. 

 


Memetik laporan BH pada 10 Ogos lalu, EastCap dalam satu kenyataan berkata, dengan menggunakan teknologi AI, ia digunakan untuk kegunaan pemantauan sempadan oleh pihak berkuasa, pelancongan, bantuan kecemasan, perubatan dan perladangan di Malaysia.

Malah syarikat itu berkata, pengenalan super dron di negara ini bukan untuk kegunaan pengangkutan awam, sebaliknya ia dicadangkan kepada pihak berkepentingan khususnya kerajaan dan pihak berkuasa.

Syarikat itu juga menyasarkan pembinaan kemudahan pemasangan super dron berkenaan di Malaysia dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 10,000 unit setahun.

Sumber: Berita Harian

Berita Berkenaan

Hezeri Samsuri
Redzuan menjawab, "Panggillah apa pun yang anda suka, dron, kereta terbang, kenderaan udara tetapi…
Berita Domestik
“Nak terbang dron perlu dapatkan kelulusan CAAM,” katanya menjawab pertanyaan Tajuddin Abdul Rahman…