Stellantis bina EV di Malaysia, bakal jadi hab untuk Asia Pasifik dengan eksport sebanyak 280k unit

oleh HEZERI SAMSURI|
Stellantis, kumpulan automotif global dengan 14 jenama di bawah payungnya akan menjadikan Malaysia sebagai hab untuk rantau Asia Pasifik bermula seawal 2025.

Menurut Ashwani Muppasani, Ketua Pegawai Operasi Stellantis untuk India dan rantau Asia Pasifik, syarikat itu sudah memulakan perancangan untuk memastikan Malaysia mengeksport sebanyak 280,000 unit kenderaan dari 2025 sehingga 2028 ke 20 negara di rantau Asia Pasifik.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Malaysia yang juga akan menjadi ibu pejabat Stellantis untuk Asia Pasifik turut menjadi pusat penggudangan (warehousing) dan pengedaran serantau untuk alat ganti jenama-jenama di bawah Stellantis ke 18 negara di rantau ini.

Mesyuarat antara Stellantis bersama Careta dan beberapa media automotif tempatan semalam yang berlangsung di Kuala Lumpur melihat syarikat global itu berkongsi pembabitan Malaysia dan Asean di dalam perancangan serantau mereka.

Stellantis akan menggunakan jenama Peugeot bagi memulakan proses perkembangan mereka di sini.

Di bawah ialah perincian lengkap seperti yang telah dikongsikan kepada Careta.

 

Kilang pemasangan kenderaan Stellantis di Gurun, Kedah.

 

Perkembangan produk

  • Stellantis ingin mengembangkan pasaran melalui jenama-jenama automotif mereka di Asean.
  • Stellantis akan menambah model-model yang ditawarkan ke pasaran dari tiga model yang ada sekarang (Peugeot 2008, 3008 dan 5008) ke enam model dari dua jenama.

Projek elektrifikasi

  • Lima model BEV (Battery Electric Vehicle) akan dipasang di Malaysia.
  • Malaysia dilihat sebagai berpotensi untuk menjadi hab pemasangan pek bateri EV untuk pasaran tempatan dan dieksport ke Asean serta India.
  • Sasaran 67 peratus dari jumlah jualan di Asean terdiri dari model EV menjelang 2030.

Projek pemasangan tempatan

  • Kilang di Gurun akan mencapai had pengeluaran maksimum menjelang penghujung 2026 dan bertumpu kepada eksport.
  • Buat masa sekarang, had pengeluaran maksimum di Gurun ialah 60,000 unit setahun (dua syif) dan ia mampu mencecah 90,000 unit dengan tambahan satu lagi syif tanpa membabitkan lagi pelaburan modal.
  • Produk-produk yang menggunakan platform STLA M akan menggunakan 80 peratus komponen dari Asean menjelang 2026.
  • Ia juga memungkinkan pembelian komponen dari Malaysia sehingga RM5 bilion.

 

Peugeot E-3008 bakal diperkenalkan di Malaysia.

 

Pasaran eksport

  • Lebih kurang 280,000 unit kenderaan akan dieksport dari Malaysia ke 20 negara di rantau Asia Pasifik dari tahun 2025 hingga 2028.
  • Malaysia juga akan menjadi pusat penggudangan dan pengedaran bagi alat ganti produk Stellantis ke 18 negara di Asean dan di Asia Pasifik.

Tenaga kerja tempatan

  • Kilang Stellantis di Gurun akan menawarkan sehingga 1,500 peluang pekerjaan sehingga 2027.
  • Ia juga membuka 4,500 peluang pekerjaan secara tidak langsung menerusi vendor-vendor dan pembekal-pembekal mereka di Malaysia.
  • Stellantis akan membuka Akademi Latihan Serantau di Malaysia untuk pemindahan pengetahuan dan juga teknologi.

Pelaburan RM2 bilion di Asean

  • Stellantis akan melabur secara jangka masa panjang dari 2024 hingga 2027.
  • Ia akan menggunakan Asean sebagai hab pengilangan dan perkakasan.
  • Pelaburan juga membabitkan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) teknologi.
  • Pembangunan pembekal-pembekal dari Asean dan juga alatn pengilangan.

 

Platform STLA yang mampu menghasilkan pelbagai genre EV.

 

Antara yang menarik ialah perancangan Stellantis untuk memasang dan memperkenal kenderaan pelbagai tenaga (multi-energy), termasuk kenderaan EV dari platform STLA-M dalam masa dua tahun ini.

Platform itu ialah antara dari empat platform kenderaan STLA yang menggunakan tiga platform teknologi. STLA M mampu digunakan untuk penghasilan EV dengan jarak gerak sejauh 700 km dengan masa pengecasan dan prestasi pemanduan yang terbaik.

Pelaburan global Stellantis untuk perisian elektrifikasi sahaja sudah melebihi €30 bilion, dari tempoh 2021 sehingga 2025.

Ashwani menegaskan bahawa perancangan ini penting untuk kumpulan Stellantis kerana ia melihat India dan negara-negara di Asia Pasifik sedang berkembang pesat dari segi ekonomi.

"Penjualan kenderaan di US dan Eropah sudah mencapai tahap tepu dan kerana itu Stellantis sekarang memberikan tumpuan ke rantau Afrika, Amerika Latin dan Asia Pasifik.

Negara-negara seperti Malaysia, Indonesia, Bangladesh, Vietnam dan sebagainya sudah membuktikan peningkatan ekonomi yang kuat untuk membolehkan kami melabur di rantau ini," terang Ashwani yang akan berpengkalan di Malaysia.

 

 

Dari kiri: Ashwani Muppasani, Daniel Gonzalez dan Billy Hayes.

 

Daniel Gonzalez, Ketua Pegawai Operasi bagi Asean berkata jenama Peugeot akan digunakan oleh Stellantis sebagai jenama utama di dalam perancangan mereka ini.

Tahun lalu Stellantis sudah pun mengumumkan untuk mengambil alih penjualan Peugeot di Malaysia dari Bermaz.

"Kami berterima kasih kepada Naza dan Bermaz yang menjadi penjaga yang baik kepada jenama kami di sini. 

Bermula tahun ini, Stellantis akan bertanggung jawab sepenuhnya kepada pemasangan, pengedaran dan penjualan jenama Peugeot dan jenama-jenama lain yang bakal diperkenalkan di Malaysia," terang Daniel.

Pasukan Daniel juga sudah turun padang bertemu dengan pemilik-pemilik setai Peugeot tempatan dan juga dengan wakil-wakil pengedar Peugeot untuk membincangkan perubahan yang bakal berlaku.

"Dalam erti kata lain, pengguna di Malaysia tidak perlu sangsi kerana kami sendiri akan berada di sini untuk bertanggung jawab terhadap semua produk kami," sambung beliau.

 

Peugeot Exalt - konsep EV yang cukup menarik.

 

Billy Hayes, Naib Presiden Kanan untuk Stellantis India dan Asia Pasifik juga menegaskan pemilihan Peugeot sebagai jenama teras untuk Stellantis di Asean sebelum memperkenalkan jenama-jenama lain adalah satu pilihan yang tepat dan sesuai.

"Peugeot ialah jenama utama (mainstream) yang premium dan pengguna di Asean, terutama di Malaysia sudah arif dengan fokus jenama itu.

Rekabentuk istimewa Peugeot akan terus kekal istimewa dan berbeza dari pengeluar lain," ujar Hayes.

"Kami akui pegangan pasaran adalah salah satu objektif kami di sini tetapi fokus paling utama Stellantis di Asia Pasifik ialah untuk memberikan kepuasan pemilikan yang terbaik.

Tanpa pemilik-pemilik yang berpuas hati, objektif-objektif lain tidak akan kesampaian," Ashwani berkata sebelum mengakhiri sidang media tersebut.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Tindakan itu berlaku adalah untuk mengurangkan kos ketika pembuat kereta itu menghadapi cabaran…
Berita Global
Mungkin pada mulanya akan timbul kurang keyakinan dengan penggunaan platform yang sama dengan Dodge…
Berita Global
Terkini, konglomerat automotif yang memiliki 14 jenama, Stellantis dilapor akan membelanjakan USD6…