Setelah lima tahun 'terbengkalai', kesesakan Jalan Universiti Malaysia Sabah akan berakhir

oleh SALINA JALIL|
Isu kesesakan lalu lintas yang menghantui pengguna Jalan Universiti Malaysia Sabah (UMS) menghubungkan Sepanggar dengan pusat bandar raya, di sini, dijangka berakhir sejurus empat persimpangan bertingkat yang sedang dibina di sepanjang laluan terbabit siap, akhir tahun ini.


Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata keempat-empat persimpangan bertingkat itu perlu disiapkan serentak bagi memastikan tiada lagi masalah aliran lalu lintas tersekat disebabkan kerja pembinaan yang belum siap.

 

Katanya, empat persimpangan bertingkat terbabit ialah Persimpangan Bertingkat Kingfisher, Persimpangan Bertingkat UMS, Persimpangan Bertingkat Rampayan dan Persimpangan Bertingkat Indah Permai.

 

"Keseluruhan laluan hingga ke Indah Permai boleh siap hujung tahun ini, ia dibuat secara berfasa tetapi dijangka siap keseluruhan akhir tahun ini. Cuma mungkin ada satu masalah di simpang masuk ke Karambunai (Indah Permai) sebab peruntukan belum dapat.

 

"Jadi, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah sedang berusaha untuk mendapatkan peruntukan daripada kerajaan Pusat dan penyalurannya dipercepatkan untuk memastikan aliran lalu lintas tidak tersekat di sana selepas persimpangan bertingkat yang lain siap," katanya kepada pemberita selepas meninjau projek Persimpangan Bertingkat Kingfisher, di Kota Kinabalu semalam.

 

Tinjauan itu yang turut disertai Pengarah JKR Sabah, Ir Ali Ahmad Hamid dan wakil syarikat kontraktor bagi melihat masalah yang timbul akibat pelaksanaan projek itu yang sudah berlarutan kira-kira lima tahun.

 

 

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya negeri, berkata pihaknya menerima banyak rungutan orang ramai khususnya pengguna laluan berkenaan yang sering berdepan kesesakan dan perubahan aliran lalu lintas disebabkan kerja pembinaan yang dilaksanakan.

 

"Saya dimaklumkan aliran trafik berjalan baik, cuma kekangannya jalan yang ada sekarang ini perlu dinaik taraf dan ini memakan masa seminggu atau 10 hari. Pengguna perlu bersabar sedikit sebab kita akan pastikan aliran trafik berjalan baik," katanya.

 

Katanya, tahap penyiapan projek persimpangan bertingkat di laluan berkenaan kini mencapai 72 peratus, lewat sembilan peratus berbanding 81 peratus yang dijadualkan sebelum ini.

 

Selain pembinaan empat persimpangan bertingkat, skop kerja kontraktor turut merangkumi pelebaran jalan kepada enam lorong dua hala berbanding empat lorong sedia ada sepanjang 8.1 kilometer serta pembinaan dua jambatan iaitu di Sungai Rampayan dan Sungai Gudon, Manggatal.

 

Projek bernilai RM357 juta yang diluluskan menerusi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) pada 2017 itu dijadualkan siap mengikut jadual pada akhir tahun ini dengan sasaran untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan.

 

 

 

Berita Harian