Sesi persekolahan dibuka bulan depan, pengusaha bas sekolah lega

oleh SALINA JALIL|
gambar hiasan
Sesi persekolahan yang akan dibuka secara berperingkat bermula bulan depan, memberi kelegaan kepada 2,376 pengusaha bas dan van sekolah berdaftar di negeri Johor.


Tinjauan di beberapa bengkel kenderaan di sekitar Johor Bahru dan Kulai mendapati sebahagian pengusaha bas atau van sekolah sudah memulakan persiapan awal dengan membuat penyelenggaraan kenderaan mereka.

 

Pengerusi Pertubuhan Muafakat Pengusaha dan Pemandu Bas Johor, R Thiagarajan yang juga pengusaha van sekolah sekitar Kulai, berkata walaupun sesi persekolahan bakal bermula, tetapi permintaan terhadap perkhidmatan bas atau van sekolah bergantung kepada ibu bapa sama ada mahu menggunakannya atau sebaliknya.

Beliau berkata, sejak diumumkan semalam, beliau hanya mendapat lima panggilan daripada ibu bapa yang mahu menggunakan khidmat van sekolah miliknya.

 

"Kali ini permulaan persekolahan dibuka secara berperingkat dan bagi pengusaha bas atau van sekolah seperti kami bakal berdepan beberapa masalah. Ini kerana jumlah pelajar menggunakan khidmat bas atau van sekolah pasti menurun.

"Kami tidak tahu berapa ramai akan ke sekolah dan berapa ramai akan menggunakan bas atau van sekolah. Selepas semua peringkat pelajar dibenarkan bersekolah, mungkin ada harapan ramai pelajar menggunakan bas atau van sekolah," katanya ketika dihubungi.

 

gambar hiasan

 

Thiagarajan berharap selepas sesi persekolahan dibuka secara menyeluruh, lebih ramai ibu bapa memilih menggunakan perkhidmatan bas atau van sekolah sama seperti sebelum ini.

 

Katanya, jangkitan COVID-19 mungkin menyebabkan ada ibu bapa mahu menghantar anak sendiri ke sekolah bagi menjimatkan kos mereka.

 

"Kami sebagai pengusaha bas atau van sekolah yang hampir setahun lumpuh akibat pandemik itu, berharap ada sinar selepas ini.

 

"Kami akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan termasuk memakai pelitup muka, malah van atau bas sekolah akan disanitasi sebelum atau selepas perjalanan.

 

"Sekarang, kami sedang melakukan persiapan termasuk membuat penyelenggaraan kenderaan dan menjalani pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) demi keselamatan pelajar yang menggunakan perkhidmatan ini nanti, " katanya.

 

Sementara itu, pengusaha van sekolah, Hussin Karam Din, 49, memohon kerajaan membantu meringankan beban pengusaha bas sekolah dalam kos penyelenggaraan.

 

Katanya, sepanjang setahun tidak beroperasi, terdapat sebahagian besar mereka terpaksa menjual van sekolah bagi menampung kehidupan.

 

"Kita bersyukur sekolah dibuka dan menjadi sebahagian rezeki kami apabila pelajar menggunakan khidmat bas atau van sekolah selepas ini.

 

"Selepas setahun tersadai, kos besar perlu ditanggung pengusaha bas atau van sekolah termasuk membuat penyelenggaraan, pemeriksaan di PUSPAKOM, insurans, cukai jalan dan alat ganti seperti tayar.

 

"Jika kerajaan dapat memberi sedikit bantuan sebagai permulaan, ia dapat menyuntik semangat dan meringankan beban kami," katanya yang beroperasi di kawasan Seri Alam, Pasir Gudang.

 

 

 

Berita Harian

Berita Berkenaan

Informasi
  Katanya, pihaknya tidak menolak perkara itu di luar skop Kementerian Pengangkutan, tetapi…
Berita Domestik
  Beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan Muafakat Pengusaha dan Pemandu Bas Negeri Johor berkata,…
Informasi
  Pengerusi Persatuan Bas Sekolah Kelantan, Wan Mohamad Nuhairi Wan Hamat, berkata pengusaha bas…