Katanya, pihaknya tidak menolak perkara itu di luar skop Kementerian Pengangkutan, tetapi sepatutnya ia boleh membantu menyuarakan isu-isu kenaikan yang melibatkan pengusaha di bawahnya.
“Kami menghadapi masalah tentang caj loading daripada syarikat insurans yang kenakan 100 peratus loading dan kenaikan kos premium insurans bagi bas-bas sekolah.
“Memang betul di luar skop Kementerian Pengangkutan, tetapi dari segi selaku Menteri Pengangkutan (Datuk Seri Wee Ka Siong), beliau boleh suarakan perkara ini kepada pihak Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kewangan untuk dikaji semula kadar loading itu.
“Sepatutnya Ka Siong boleh bawa dalam mesyuarat Kabinet, beritahu rungutan daripada pengusaha pengangkutan awam seluruh negara kerana rata-rata pengusaha pengangkutan awam alami masalah sama iaitu kadar insurans yang tinggi dan caj loading,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Pada 9 Januari lalu, akhbar ini melaporkan, seramai 21,000 pengusaha bas sekolah di seluruh negara mengeluh apabila terpaksa menyediakan kos tambahan antara RM1,000 hingga RM2,000 bagi setiap kenderaan untuk menyambung semula insurans dan cukai jalan yang
didakwa meningkat sehingga 200 peratus mulai tahun ini.
Kelmarin, Mingguan Malaysia melaporkan, Ka Siong memberi jaminan tiada kenaikan cukai jalan atau LKM untuk bas sekolah dan akan kekal pada kadar RM2 setahun seperti sejak 2008 dan tiada kenaikan kadar bayaran LKM bagi mana-mana kelas kenderaan motor lain.