Senarai kereta Proton di dalam permainan video - Saga pun ada!

oleh Mohamad Hanif|
Nama-nama besar di dalam industri permainan video seperti Need For Speed, Grand Turismo, Arsetto Corsa dan Dirt Rally sememangnya menyumbang peranan besar kepada dunia automotif itu sendiri.

Apatah lagi apabila dapat mengendalikan 'jentera' yang selama ini diidamkan, namun bergantung pula pada rezeki dan tuah masing-masing untuk memandunya di dunia nyata. 
 


Terbaharu, permainan video WRC8 yang dibangunkan oleh Kylotonn dilancarkan dengan beberapa jentera rali yang ikonik seperti Lancia Fulvia 1972, Renault Alpine A110 1973, Ford Escort Mk II 1800 1975, Porsche 911 GT3 RS RGT 2016 dan Volkswagen Polo R WRC 2016.

Ternyata, kelibat jentera kelahiran tempatan, Proton Iriz R5 2019 yang kian meningkat namanya itu menarik perhatian warga tempatan yang mengikuti perkembangan Proton dalam dunia rali walaupun ia bukanlah hasil usaha sepenuhnya dari Proton.

Ketika awal kemunculan Proton, menerusi PERT atau Petronas Eon Racing Team, Proton mempertaruhkan beberapa jentera seperti Proton Saga, Proton Iswara, Proton Wira sehinggalah kepada jentera rebadge Mitsubishi Evo VI yang diberikan nama Proton PERT.

Namun, tidak ramai yang tahu (termasuklah penulis) jentera-jentera Proton ini pernah juga diabadikan ke dalam beberapa permainan video!

Berikut merupakan sebahagian daripada jentera-jentera Proton di alam maya:

 

 

Proton Saga 


Menariknya, Proton Saga ini bukanlah digunakan di dalam perlumbaan rali, sebaliknya ia merupakan props kepada permainan Conflict: Desert Storm yang diterbitkan pada tahun 2002!

 

 

Proton Saga Iswara


Sebuah lagi kereta Proton yang bukan dipamerkan sebagai jentera rali, akan tetapi teksi Proton Saga Iswara!

Ia dijumpai di dalam permainan SOCOM 4: U.S Navy SEALs tahun 2011. 

 

 

Proton Wira


Antara jentera yang ikonik dengan sejarah sukan permotoran Proton dan muncul di dalam beberapa permainan seperti:

  • Network Q RAC Rally Championship, 1996
  • Rally Challenge, 1997
  • Tommi Makkinen Rally (International Rally Championship), 1998
  • Rally Championship 2000, 1999
  • Rally Challenge 2000, 2000

 

 

Proton Satria


Ya, usah dilupakan pada hatchback dua pintu dari Proton ini apabila model ini juga pernah membuat kemunculan rasmi dalam beberapa permainan seperti:

  • Rally Championship 2000 (Mobil 1 Rally Championship), 1999
  • Lotus Challenge, 2001
  • Rally Championship 2002, 2001
  • ToCA Race Driver, 2002
  • Crash'n'Burn, 2004

 


Proton PERT


Jentera yang diubah lencananya dari Mitsubishi Lancer Evolution ini pernah dilihat di dalam permainan berikut:

  • Xpand Rally, 2004
  • WRC 4: The Official Game of the FIA World Rally Championship, 2004

 

Proton Satria Neo S2000 

 

Tugas penerus legasi jentera rali moden Proton ini digalas oleh Proton Satria Neo S2000 yang dibangunkan oleh Mellors Elliot Motorsport (MEM). 

Jentera yang pernah dipandu oleh adik kepada arwah Colin McRae, Alister McRae dan Chris Atkinson ini turut wujud di dalam permainan berikut:

  • WRC 3: FIA World Rally Championship, 2012
  • WRC 4: FIA World Rally Championship, 2013
  • Sebastien Loeb Rally EVO, 2016

 

 


Proton Iriz R5


Tidak memakai enjin asal Proton, Proton Iriz R5 menggunapakai enjin 4B11T turbo yang diperoleh daripada Lancer Evo X yang diturunkan kapasitinya kepada 1.6 liter bagi memenuhi regulasi R5. 

Selain daripada sistem transmisi dan pacuan semua roda dari Xtrac, Iriz R5 dipasang sistem suspensi dari Reiger, brek Brembo dan sistem pendawaian elektronik dari Cosworth. 

Proton Iriz R5 membuat kemunculan rasmi di permainan video WRC8 yang diterbitkan baru-baru ini. 

 

 

Proton KR3


Ia bukan sebuah jentera empat roda Proton, akan tetapi jentera MotoGP!

Motosikal dua lejang bersesaran 500 cc itu pada awalnya dibangunkan oleh Modenas sebelum diambil alih oleh Proton pada tahun 2001. 

Pasukan Modenas-Team KR mula melibatkan diri di dalam MotoGP pada tahun 1997 dan kali terakhir ia dikenali dengan nama Proton Team KR sebelum pasukan itu menarik diri pada tahun 2004 disebabkan peraturan yang semakin ketat selain persembahan yang semakin hambar setiap musim. 

Jentera ini membuat kemunculan di dalam permainan MotoGP 2, 2003.

Sumber: IGCD.net

Berita Berkenaan

Berita Global
Ciri Passenger Play itu diperkenalkan baru-baru ini, di mana ia membolehkan penumpang hadapan…
Berita Global
Namun, untuk mereka yang mahu merasai sendiri sentuhan Lamborghini, pengeluar supercar dari Itali…
Gaya Hidup
Careta singgah sebentar di Sijangkang, Selangor untuk melihat sendiri rig buatan anak tempatan…