Sekolah dari Negeri Sembilan menang anugerah dalam F1 in Schools tahun ini

oleh HEZERI SAMSURI|
Pasukan Vicsino yang menggabungkan dua sekolah di Negeri Sembilan, SMK King George V (KGV), Seremban dan Kolej Tunku Kurshiah (TKC) dari Nilai telah memenangi Anugerah Peragaan Pit Terbaik (Best Pit Display Award) dalam pertandingan Aramco F1 In Schools World Final 2023 yang berlangsung seraya dengan perlumbaan F1 di Singapura hari ini.

Pasukan itu yang terdiri dari Megat Rashidi, Mariah Azmir Faizal, Leong Karshen, Tunku Sarah Aisyah, Sheza Farasofea dan Amirul Zafran Aqil memenangi anugerah tersebut dan menerima hadiah satu sut perlumbaan yang pernah digunakan oleh pelumba pasukan Scuderia AlphaTauri F1, Daniel Ricciardo.

Mereka juga berpeluang untuk melawat sendiri pit perlumbaan pasukan F1 itu bersedia untuk perlumbaan pada hujung minggu ini.

 

 

Menurut Dr Radzi Abu Mansor (gambar di atas), salah seorang dari hakim antarabangsa untuk F1 In Schools dan juga penasihat untuk pasukan-pasukan yang bertanding dari malaysia, nama pasukan tersebut, Vicsino adalah singkatan dari beberapa perkataan Latin, Vic dari Victoriam atau juara, Si dari perkataan Simul yang bermaksud gabungan dan No dari Uno yang bermaksud nombor satu.

"Nama pasukan itu adalah dari idea pelajar-pelajar itu sendiri," ujarnya, yang juga merupakan Ketua untuk Pusat Kajian Automotif di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Pertandingan F1 in Schools adalah satu pertandingan antarabangsa yang memberi penekanan terhadap subjek STEM (sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik) untuk pelajar-pelahar sekolah berusia dari 11 ke 19 tahun.

Tahun ini, penaja utama pertandingan tersebut ialah syarikat petroleum gergasi Aramco dan sebanyak 68 pasukan dari lebih 30 negara yang terbabit.

 

 

Dua lagi pasukan dari Malaysia yang turut bertanding ialah pasukan Nova Racing dari SMK Bandar Putra, Johor yang berjaya ke peringkat suku ahir dalam kategori Knock-Out Racing.

Pasukan Ozmost pula dari SMK Dato' Undang Musa Al Haj (DUMA)dari Jelebu, Negri Sembilan yang menjadi antara pasukan ketiga teratas dalam kategori kolaborasi sekolah antarabangsa (SMK Duma berkolaborasi dengan sebuah sekolah dari Hong Kong).

Sekolah-sekolah dari Malaysia sudah bertanding di dalam F1 In Schools dan kesemua pasukan ini adalah pemenang dalam pusingan kebangsaan yang berlangsung dalam bulan Februari lalu.

Untuk sekolah-sekolah yang berminat untuk memasuki F1 In Schools, layari laman web https://www.f1inschools.com

Tahniah sekali lagi kepada semua pelajar-pelajar dalam kesemua pasukan tersebut dan pendidik-pendidik yang terbabit.

 

Berita Berkenaan

Uncategorized
Terdiri daripada empat orang ahli pasukan iaitu Ainul Jannah Hasim (17), Nur Sabrina Riduan (17),…