Sedan Subaru Impreza WRX 1999, perbatuan 17k km untuk dijual

oleh Mohamad Hanif|
Penulis yakin, rata-rata pembaca Careta kenal dengan Subaru Impreza WRX generasi pertama, dan sudah pasti ia mengingatkan anda kepada zaman kegemilangan Subaru dalam WRC

Versi yang paling 'hardcore' sudah pasti Impreza dua pintu 22B STi dengan harga yang tidak murah, namun untuk mereka yang mahukan sebuah sedan pantas yang lebih praktikal, Subaru Impreza WRX tahun 1999 ini mungkin sekali calon yang sesuai - selain daripada model terawal Mitsubishi Lancer Evolution I, II, dan III.
 

Impreza


Model sedan Impreza WRX berwarna putih ini dijual menerusi laman web Collecting Cars dengan jarak perbatuan yang agak mengejutkan - cuma 17,623 km sahaja!

Kondisinya yang masih nampak macam baru keluar kilang seakan mampu mengaburi pandangan anda daripada fakta bahawa sedan ini sebenarnya sudah pun berusia 22 tahun.
 

Impreza


Lihat sahaja pada unit lampu utama yang masih lagi jernih, serta kekemasan yang diperlihatkan pada susun atur kabin yang menempatkan dua tempat duduk jenis bucket, serta upholsteri kelabu gelap yang dikontraskan dengan jahitan merah pada roda stereng dan juga tombol gear.

Memandangkan ia merupakan generasi pertama Impreza WRX, sedan ini didatangkan dengan enjin boxer turbo 2.0 liter yang mampu menghasilkan 276 kuasa kuda dan 339 Nm.
 

Impreza


Kuasa tersebut dihantar ke semua roda menerusi transmisi manual lima nisbah kelajuan.

Menurut keterangan di laman web Collecting Cars, sedan putih ini kini berada di Joondana, Australia.

Tiada sebarang tanda harga diiklankan dalam laman web tersebut, namun untuk kereta dengan kondisi yang cemerlang ini, sudah pasti harganya bakal mengoyakkan buku bank anda.

Sumber: Collecting Cars

Berita Berkenaan

Berita Global
Dalam kejadian hari Rabu jam 2.45 petang waktu tempatan itu, pasukan peronda South Australia Police…