Ia menimbulkan kerisauan di kalangan syarikat EV dari dua benua itu. Baru-baru ini, Elon Musk sendiri berkata jualan EV akan dibolot oleh China kerana mereka menawarkan harga yang tidak masuk akal.
Kerajaan China juga mula merasa bimbang kerana Eropah dan US boleh menutup pintu perdagangan mereka demi untuk menjaga periuk nasi masing-masing.
Eropah dan US semestinya tidak mahu syarikat EV dari negara mereka sendiri tersungkur kerana tidak mampu bersaing harga dengan produk dari China yang lebih rendah.
Untuk memastikan masalah itu tidak timbul, sembilan agensi kerajaan China turun berbincang dan menghasilkan garis panduan kepada syarikat-syarikat EV mereka agar produk EV China tidak disekat masuk ke pasaran negara maju.
Menurut laporan Asia Nikkei, perbincangan itu menyenaraikan 18 perkara yang boleh dilakukan bagi memastikan syarikat EV China terus berkembang maju secara global.
Antara yang disenaraikan ialah syarikat EV China digesa untuk membuat pusat-pusat R&D (Penyelidikan dan Pembangunan) yang dibantu oleh institusi penyelidikan negara-negara luar.
Ia juga mencadangkan syarikat EV China untuk segera patuh kepada perundangan tempatan negara-negara tersebut, lebih tepat lagi undang-undang berkaitan bateri, alam semula jadi, data dan hakcipta.
Mereka juga dicadangkan untuk menggunakan vendor-vendor dari negara-negara itu bagi menghasilkan alat ganti dan pemindahan teknologi untuk membantu dalam proses khidmat selepas jualan.
Agensi Perdagangan US sedang mengkaji tekanan dari jualan EV China di pasaran negara Uncle Sam itu sementara Kesatuan Eropah mula masih sedang menyiasat samada harga EV China yang rendah itu adalah akibat subsidi dari Beijing sendiri.
Apa yang pasti, China cukup pantas bertindak untuk memastikan perkembangan perdagangan global mereka tidak tergugat dan ia mahu kekal sebagai gergasi dunia EV.