MCE AUTO HUB BAKAL JADI KILANG PENGELUARAN KOMPONEN UTAMA EV

oleh Firdaus Razani|
MCE Holdings Bhd (MCE) melalui anak syarikat milik penuhnya, Multi-Code Electronics Industries (M) Bhd, sebuah peneraju dalam pengeluaran peralatan asal (OEM) bagi komponen elektronik automotif dan mekatronik, telah merasmikan majlis permulaan pembinaan MCE Auto Hub sebagai kilang pengeluaran baharu di Serendah.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Meliputi tapak kawasan seluas lapan ekar, fasa pertama MCE Auto Hub ini akan menyaksikan pelaburan awal sebanyak RM50 juta.

Hab itu bakal menjadi kilang pengeluaran utama MCE yang akan meningkatkan kapasitinya untuk memenuhi peningkatan permintaan terhadap komponen dan sistem elektronik yang canggih.

Komponen dan sistem elektronik tersebut akan tertumpukan pada kenderaan seperti kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) dan kenderaan elektrik (EV).

Pelaburan strategik ini mencerminkan komitmen MCE untuk menangani keperluan kereta generasi akan datang yang sentiasa berkembang, terutamanya dalam penghasilan komponen elektronik automotif.

Ia mengutamakan penghasilan komponen automotif seperti sistem infotainment kokpit, paparan digital, serta pelbagai komponen lain untuk kenderaan enjin ICE dan EV.

Majlis yang telah diadakan di Taman Pembuatan Nilai Tinggi UMW ini telah dirasmikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Turut hadir di majlis tersebut ialah EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Negeri Selangor, Ng Sze Han; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Azrul Reza Aziz; termasuk wakil agensi tempatan, rakan-rakan kongsi MCE serta tetamu kehormat yang lain.

Menteri MITI, Tengku Zafrul Aziz dalam ucapan perasmiannya berkata, “Kami memuji keputusan besar yang dibuat oleh MCE ini untuk mengeluarkan solusi canggih yang dapat melonjakkan ekosistem automotif kita.

"Ini merupakan sebuah cerminan kepada dasar strategik yang diharapkan oleh Kerajaan dan juga MITI untuk merancakkan pertumbuhan di dalam sektor automotif negara." katanya.

 

mce

 

Pembangunan MCE Auto Hub akan dapat mempertingkat pertumbuhan sektor ini yang pada ketika ini menyumbang sekitar RM40 bilion kepada KDNK negara sambil menyediakan 700,000 pekerjaan.

Namun, apa yang lebih penting adalah MCE Auto Hub bakal menjadi peneraju pengeluaran elektronik automotif di rantau ini sambil menjadikan Malaysia tarikan yang lebih besar buat pelabur automotif.

Ini juga selari dengan wawasan yang digariskan di dalam dasar utama seperti NIMP2030 dan Dasar Automotif Nasional.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata, “Kejayaan ini bukan sahaja mencerminkan pencapaian penting untuk industri kami, tetapi turut menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi, kewujudan peluang pekerjaan dan inovasi.

MIDA amat menghargai pelaburan bernilai tinggi dari MCE kerana ia akan menyokong ekosistem EV dalam negara ini.

Selain itu, pengeluaran komponen elektronik automotif dalam negara bakal menjanjikan penjanaan pekerjaan yang besar dan meningkatkan tahap daya saing OEM automotif di peringkat tempatan dan global.

MIDA kekal komited dalam usaha memupuk persekitaran yang berupaya menggalakkan inisiatif pengembangan dan landskap perindustrian Malaysia yang lebih kaya.

Pengarah Urusan Kumpulan MCE, Dr Goh Kar Chun berkata, “Di sepanjang perjalanan kami, MITI, MIDA, MARii, dan semua pihak berkuasa tempatan telah memberikan sokongan yang luar biasa dan bimbingan yang tidak ternilai.

“Komitmen mereka dalam memelihara dan memberikan galakan kepada sektor pembuatan automotif tempatan adalah penting kepada kejayaan kami.”

“Pelaburan ini membuktikan semangat kami untuk menerajui sektor pembekalan komponen elektronik dan mekatronik automotif di rantau ini, memanfaatkan kelebihan yang dimiliki oleh Malaysia di dalam industri elektrik dan elektroniknya (E&E) yang cukup matang.” tambah Goh.

 

mce

 

Ujar beliau lagi, “Lokasi strategik Taman Pembuatan Nilai Tinggi UMW memberi manfaat besar dari segi logistik dan kos, membolehkan kami berada lebih dekat dengan beberapa pelanggan, rakan kongsi, dan pembekal kami.

"Kedudukan kilang yang berdekatan ini membolehkan kami berkolaborasi dengan lebih baik dan membantu kami mengeratkan lagi kerjasama bagi mewujudkan sebuah ekosistem elektronik automotif tempatan yang mantap sekali gus menyumbang kepada keseluruhan sumbangan ekonomi oleh industri ini.”

Peralihan ini memerlukan persekitaran pembuatan yang lebih ketat dan berteknologi maju, selaras dengan tren digitalisasi global dan pasaran EV yang berkembang pesat.

Tuntasnya, komitmen MCE dalam inovasi dan pertumbuhan dapat dilihat melalui jumlah pelaburan bagi fasiliti pembuatan baharu iniyangdijangka mencecah RM150 hingga RM200 juta dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Pembinaan fasa pertama kilang baharu itu dijangka siap menjelang akhir tahun ini, dengan operasi dijadualkan bermula pada 2025.