Dalam laman web rasmi, Tesla kini menerbitkan sebuah video ringkas yang memperlihatkan rekaan sebenar ruang kabin Tesla Semi.
Jika dibandingkan dengan versi asal yang muncul pada tahun 2017, ia masih lagi membawakan susun atur papan pemuka dengan kehadiran dua skrin paparan yang turut bertindak sebagai 'cermin sisi'.

Rekaan roda stereng pula diambil daripada EV Model S dan Model X terkini, di mana ia mengintegrasikan butang fungsi seperti lampu membelok dan hon.
Boleh dilihat, di sebalik roda stereng yang minimalis itu tiada langsung kehadiran sebarang tuil untuk penukaran gear atau fungsi penyeka kaca - semua operasi tersebut mungkin telah 'ditanam' kemas pada skrin paparan berkembar itu tadi.
Disebabkan susun atur papan pemuka itu juga, pemandu Tesla Semi berada di posisi tengah trak dan bukannya di bahagian kiri seperti trak konvensional.

Berdasarkan rujukan di laman web rasmi, Tesla Semi menawarkan jarak operasi sejauh 805 km, dengan trenkuasa tiga motor elektrik pada gandar belakang, dan pecutan 0-96 km/j mengambil masa selama 20 saat.
Tesla Semi menyokong pengecasan pantas yang membolehkan kapasiti bateri dicas sebanyak 70 peratus selama 30 minit, selain menawarkan penjimatan bahan api sehingga $200,000 (RM897,000) untuk tempoh tiga tahun berbanding trak konvensional.
Beberapa laporan terdahulu mencadangkan Tesla akan memulakan produksi bagi model Semi ini pada tahun ini dengan penghantaran kelompok pertama akan dibuat menjelang akhir tahun ini.
Sumber: Teslarati