Proton dan Geely-apa bakal terjadi?

oleh HEZERI SAMSURI|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Sudah muktamad – Zhejiang Geely Holdings Group Co. Ltd (Geely Holding) akan menjadi rakan strategik Proton dengan pegangan saham sebanyak 49.9 peratus.

DRB-Hicom memiliki baki 51 peratus saham ekuiti Proton, namun akan melepaskan semua saham ke atas syarikat kereta sports dari UK, Lotus.

Lotus akan dimiliki oleh Geely (51 peratus) sementara baki 49 peratus ialah milik Etika Automotive Sdn Bhd, sebuah syarikat milik Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, pemegang saham terbesar DRB-Hicom.

Teksi hitam di London yang menjadi ikon itu sebenarnya dimiliki oleh Geely.

Teksi hitam di London yang menjadi ikon itu sebenarnya dimiliki oleh Geely.

Geely Holding pula memiliki empat syarikat automotif – Geely Automobile, Volvo Cars, The London Black Cab dan Lynk & Co.

Lima jika dimasukan Lotus kelak.

Walaupun Geely Automobile diberitakan ia tidak terbabit dalam pembelian Proton (laporan Reuters), kita boleh tafsirkan bahawa syarikat induk mereka, Geely Holding pastinya akan menggunakan Geely Automobile dan syarikat automotif yang lain di dalam aspek kerjasama dengan Proton ini.

Namun begitu, apakah yang rakyat Malaysia boleh harapkan dari perkembangan terbaharu syarikat automotif pertama negara ini?

Kami senaraikan kemungkinan yang akan berlaku dan juga yang tidak akan berlaku.

Semuanya adalah spekulasi berdasarkan informasi dan fakta yang sedia ada.

proton suv - careta5

1. Perubahan barisan produk Proton

Kemungkinan terjadi: 8 dari 10
Bila akan terjadi: 5 tahun, minima

Umum mengetahui, barisan produk Proton adalah sedikit rojak.
Ini ialah kerana kekurangan platform dan juga enjin untuk membenarkan ia menghasilkan produk-produk menurut genre.
Dengan adanya Geely, Proton dijangkakan akan menggunakan platform dan enjin Geely untuk membina barisan produk yang baharu dan yang lebih sesuai untuk pasaran Asean.

2. Produk mesra eksport oleh Proton

Kemungkinan terjadi: 8 dari 10
Bila akan terjadi: 2 tahun, minima

Geely Holding mempunyai pelbagai enjin dan projek enjin yang sesuai untuk negara Eropah dan di pasaran lain.
Enjin-enjin Proton sekarang ini tidak menepati piawaian asap oleh negara maju, dan ini menghalang Proton dari mengeksport produk mereka.
Dengan bantuan teknikal Geely Holding, Proton boleh mengeksport model-model sedia ada atau model-model baharu ke pasaran baharu.
Geely juga sudah mempunyai wakil jualan di banyak negara dan Proton juga boleh menggunakan peluang ini untuk menambah wakil penjual mereka.
Proses menggantikan enjin adalah lebih mudah dari membuat produk baharu dan kerana itu kami yakin ia akan dilakukan segera.

Iriz EV - mungkin jadi kenyataan? gambar dari Paul Tan.

Iriz EV – mungkin jadi kenyataan? Gambar dari Paul Tan.

3. Proton akan ada kenderaan elektrik (EV)

Kemungkinan terjadi: 8 dari 10
Bila akan terjadi: 3 tahun, sekiranya tiada aral melintang

Geely sudah lebih bersedia di dalam hal ini dan Proton, walaupun sudah acap kali membuat kajian dan percubaan, masih tidak ada lagi produk EV yang dijual di dalam pasaran.
Geely dijangka akan membantu Proton membina kapasiti EV mereka dalam masa terdekat.

4. Proton menjenamakan produk Volvo Cars

Kemungkinan terjadi: Tiada
Bila akan terjadi: Tidak mungkin

Volvo Cars ialah satu jenama premium dan ia tidak mungkin akan dijenamakan sebagai Proton.

Ia tidak boleh digunakan sebagai satu cara untuk Proton menaikan tahapnya dari pembina kenderaan untuk orang kebiasaan kepada sebuah jenama premium.

Volvo dan Geely sendiri tidak pernah berkolaborasi secara terang – dan Lynk & Co diwujudkan untuk menjadi platform kedua syarikat itu bergabung.

Geely-MPV-Concept

5. Proton menjenamakan produk Geely

Kemungkinan terjadi: 4 dari 10
Bila akan terjadi: Dua tahun, sekiranya terjadi.

Produk yang direka untuk pasaran domestik China mempunyai gaya rekabentuk yang sangat berlainan dari pasaran di Malaysia.
Kerana itu, sekiranya sebuah produk Geely diambil dan ditukar lencana sahaja, kemungkinan besar ia tidak akan menjadi tarikan bakal pembeli.
Sehingga kini, masih ada yang tidak yakin dengan jenama Korea walaupun terbukti sama semakin popular di negara maju.
Jika barangan Korea masih ada lagi yang tidak terima di Malaysia, apalagi pasaran yang menggunakan produk import sepenuhnya dari China.

6. Proton akan dikawal oleh DRB sepenuhnya

Kemungkinan terjadi: 8 dari 10
Bila akan terjadi: Sedang berlaku

Jika dikira dari segi pegangan ekuiti, DRB- Hicom adalah pemilik saham terbesar.

Namun begitu, dengan jumlah pelaburan yang besar, tidak mustahil Geely akan mahu terbabit di dalam semua projek Proton.

Apa yang penting, nama Proton akan terus berkibar dan hak pekerja-pekerja boleh terjaga.

 

Model Exige LF1

 

7. Proton terjejas kerana hilang Lotus

Kemungkinan terjadi: 1 dari 10
Bila akan terjadi: –

Proton akan kehilangan seluruh pegangan terhadap syarikat kereta sports UK itu.
Namun begitu, ia dijangka tidak akan memberi sebarang kesan kepada Proton kerana Lotus sememangnya bukan di dalam bidang kepakaran mereka dan Proton tidak ada menjual kenderaan genre sport seperti Elise, Exige dan Evora.
Oleh itu, ketiadaan Lotus di dalam port folio Proton tidak akan mengganggu Proton, kecuali mereka yang mahukan lencana Handling By Lotus di atas kereta Proton.
Talaan sistem gantungan Proton sebenarnya dilakukan sendiri oleh anak-anak tempatan, seperti YM Tengku Azizan Tengku Ahmad dan anak-anak didik beliau seperti Sharaf Saleh, YM Tengku Djan Ley dan lain-lain.

8. Pekerja Proton akan dibuang

Kemungkinan terjadi: 1 dari 10
Bila akan terjadi: –

Proton sudah acapkali berkata ia tidak akan membuang pekerjanya, kecuali atas dasar masalah disiplin dan sebagainya.
Kemungkinan besar dengan pegangan saham majoriti DRB-Hicom, ia mempunyai kuasa untuk dibenarkan menyimpan pekerja-pekerjanya.

Gambar dari laman web Suzuki Indonesia

9. Proton akan terus menjenamakan model asing dari Jepun

Kemungkinan terjadi: 3 dari 10
Bila akan terjadi: 1 tahun dari sekarang

Sebarang perjanjian yang dilakukan oleh Proton dengan syarikat automotif yang lainsecara dasarnya perlu dilihat kembali.
Careta merasakan hubungan Proton bersama Honda (untuk projek Perdana) dan Suzuki (untuk Ertiga) akan diteruskan untuk jangka masa pendek sahaja kerana mungkin ada perbalahan konflik (conflict of interest) di antara Geely dan dua rakan teknikal Jepun itu.

tanjung malim proton

10. Kilang Proton akan ditutup

Kemungkinan terjadi: 5 dari 10
Bila akan terjadi: –

Sudah diumumkan bahawa kilang Proton akan memasang kenderaan berjenama Volvo.
Geely juga kemungkinan besar akan menggunakan kilang Proton untuk memasang produk-produk mereka bagi pasaran panduan kanan yang lain. Ini bermaksud akan ada peningkatan dari segi aktiviti di kilang Proton yang  tidak pernah beroperasi secara maksimum.
Namun begitu, sekiranya jualan masih tidak memberangsangkan, kemungkinan untuk salah satu kilang ditutup tinggi dan tanah kilang di Shah Alam memberikan pulangan yag sangat baik.

*Kesemua ini adalah spekulasi dari analisa Careta sendiri.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Kumpulan perdagangan terkemuka berkata ini benar terutamanya di tengah-tengah ketegangan…
Berita Global
Kejadian berlaku kira-kira 2.10 pagi di sebahagian Lebuhraya Meizhou-Dabu di Meizhou. Kawasan…
Berita Global
Laporan itu datang selepas Ketua eksekutif Tesla, Elon Musk membuat lawatan mengejut untuk bertemu…