PROTON catat peningkatan jualan sebanyak 13.6% pada Mei 2024

oleh Firdaus Razani|
Pada bulan Mei lalu, PROTON mencatatkan kadar peningkatan jualan sebanyak 13.6 peratus berbanding bulan sebelumnya dengan 12,522 unit (domestik dan eksport) terjual.

Sebanyak 62,697 unit telah terjual untuk lima bulan pertama yang sekaligus telah mengukuhkan kedudukan tempat kedua dalam keseluruhan jualan automotif nasional dengan pegangan pasaran dianggarkan pada 19 peratus.

Pertumbuhan jualan yang didaftarkan oleh PROTON pada bulan Mei adalah selaras dengan trend jumlah volum industri (TIV) yang dianggarkan meningkat sebanyak 20.7 peratus kepada kira-kira 70,000 unit pada bulan Mei.

Secara kumulatif, angka tahun sehingga kini (YTD) untuk TIV dianggarkan pada 330,236 unit, bersamaan dengan peningkatan 8.8 peratus berbanding tahun 2023.

Rancangan PROTON untuk mengembangkan jenamanya di negara-negara seperti Trinidad dan Tobago, Bangladesh dan Iraq tahun ini telah terbukti membuahkan hasil apabila jualan eksportnya mencapai 509 unit pada bulan Mei.

 

proton

 

Angka tersebut juga merupakan jumlah penghantaran tertinggi yang dicatatkan untuk 2024 setakat ini.

Sejak Februari tahun ini, model eksport paling laris ialah Proton Saga, yang sekali lagi mendahului model yang lain dengan 360 unit dieksport dalam bulan Mei.

Kebanyakan model juga mencatatkan peningkatan jualan eksport, menjadikan jualan eksport kumulatif kepada 1,344 unit sejak Januari tahun ini berbanding 820 unit untuk tempoh masa yang sama pada tahun 2023.

Ini bersamaan dengan peningkatan 63.9 peratus dalam jualan eksport YTD.

Tambahan itu SUV utama syarikat, Proton X90, merampas kembali gelaran SUV segmen-D paling popular di Malaysia dengan 364 unit terjual.

 

proton

 

Sementara itu, jualan Proton Saga meningkat 21.6 peratus kepada 6,119 unit di bulan Mei membawa jualan tahun sehingga kini meningkat sebanyak lapan peratus ke 29,397 unit.

Manakala jualan bagi Proton S70 meningkat 23 peratus kepada 2,011 unit daripada 1,635 unit pada bulan April, dan jualan kumulatif untuk lima bulan pertama 2024 kini berjumlah 9,474 unit.

Bagi model Proton yang lain, jualan untuk Proton X70 mencapai 523 unit manakala sedan segmen-B, Proton Persona mencapai 1,645 unit, menjadikan jumlah YTD sebanyak 8,444 unit.

Sementara itu, hatchback segmen-B, Proton Iriz, menambah 452 unit kepada volum jualan Mei, menjadikan jumlah jualan sehingga kini 2,410 unit.

Akhir sekali, SUV segmen-B yang memenangi anugerah kegemaran Malaysia, Proton X50, mencapai jualan sebanyak 1,407 unit pada bulan Mei.

 

proton

 

Permintaan dijangka meningkat berikutan pelancaran model Proton X50 2024 yang diperbaharui pada 4 Jun yang memperkenalkan beberapa siri peningkatan dan memberikan pengalaman yang lebih berteknologi maju serta diperhalusi.

proton

 

Berita Berkenaan

Informasi
"Rangkaian model pintar kami memaparkan sejumlah besar teknologi keselamatan pasif serta aktif,…
Berita Domestik
"Walaupun (2024) X50 ini nampak sama pada luarannya, namun sebenarnya terdapat kira-kira 20…
Berita Domestik
Inisiatif baharu ini mengiktiraf pengedar Proton yang telah mencapai tahap cemerlang bagi…