PRN: Trafik dijangka meningkat sehingga 1.9 juta kenderaan

oleh Penyumbang Rencana|
gambar hiasan
Orang ramai yang ingin pulang ke kampung atau lokasi pengundian sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini diingatkan merancang perjalanan susulan peningkatan trafik dijangka mencecah sehingga 1.9 juta kenderaan sehari di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).

Pengurus Besar Kanan Operasi PLUS, Mohd Yusuf Abdul Aziz berkata, pengguna lebuh raya dijangka akan menghadapi tempoh perjalanan yang lebih panjang di lebuh raya berikutan peningkatan kenderaan antara 11 hingga 12 Ogos ini berbanding hari-hari biasa.

"Bagaimanapun bagi membantu orang ramai menikmati perjalanan lebih selesa, PLUS telah membuat persediaan merangkumi aspek pengurusan operasi serta kemudahan lebuh raya di plaza tol dan kawasan rehat dan rawat (RnR) agar kesemuanya berada pada tahap yang terbaik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa yang sama, PLUS juga menghentikan sementara kerja-kerja penyelenggaraan, naik taraf atau pembinaan yang memerlukan penutupan lorong di lebuh raya bermula 11 hingga 13 Ogos, kecuali melibatkan kerja-kerja kecemasan seperti pengalihan kenderaan yang terlibat dengan kemalangan.

Selain itu, PLUS juga memastikan semua kemudahan awam seperti tandas, surau serta stesen minyak di kawasan RnR serta hentian sebelah beroperasi 24 jam sehari untuk menampung kehadiran pengunjung, katanya.

Pengguna lebuh raya juga digalakkan untuk berhenti rehat setiap dua jam pemanduan dan menikmati pelbagai pilihan makanan dan minuman yang disediakan oleh rakan niaga kami di RnR sebelum menyambung semula perjalanan.

Beliau berkata, maklumat trafik juga boleh diperoleh dengan memuat turun Aplikasi PLUS, atau mengikuti akaun Twitter@PLUSTrafik, Chatbot PUTRI, papan tanda elektronik (VMS) di lokasi-lokasi terpilih dan talian PLUSLine di 1800-88-0000.

 

- Bernama

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Perkara itu diumumkan oleh Naib Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sekiranya parti…