Positif dadah, nekad langgar polis untuk larikan diri

oleh Penyumbang Rencana|
Rahsia empat individu termasuk seorang wanita nekad merempuh anggota kereta peronda polis (MPV) ketika melarikan diri, terbongkar apabila dua daripada mereka dikesan positif dadah selepas ditahan dekat Kota di Rembau, tengah hari Ahad.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, kereta dinaiki suspek terbabas ke dalam belukar ketika usaha melarikan diri sebelum polis menahan seorang wanita manakala tiga lagi menghilangkan diri.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad, berkata siasatan awal mendapati ketika MPV polis daerah itu membuat rondaan di hadapan Masjid Penajis, Kota, cuba menahan sebuah kereta Proton Wira untuk pemeriksaan.

"Tiba-tiba pemandu Proton Wira itu memecut ke arah Kampung Relong Penajis lalu sampai di hujung jalan kampung dan dapati ia adalah jalan mati.

"Pemandunya membuat pusingan U dan dalam masa sama itu seorang anggota polis keluar dari MPV untuk mengarahkan Proton Wira supaya berhenti, namun pemandunya melarikan diri dengan merempuh anggota MPV berkenaan," katanya, pada Isnin.

Beliau berkata, anggota yang dilanggar itu terjatuh ke jalan, manakala Proton Wira terbabas masuk ke tebing sebelah kiri jalan.

"Pemandu Proton Wira serta dua lelaki keluar dari kenderaan dan melarikan diri ke arah belukar. Seorang wanita berusia 31 tahun dapat ditangkap dan dibawa ke IPD Rembau untuk siasatan lanjut.

"Tidak lama kemudian seorang lagi suspek lelaki ditahan penduduk kampung sebelum diserahkan kepada polis. Kedua-dua suspek yang ditahan didapati positif dadah, namun pemeriksaan tidak menemui bahan terlarang berkenaan," katanya.

Beliau berkata, dua lagi suspek masih lagi diburu dengan seorang daripadanya sudah dikenal pasti identiti.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

 

Harian Metro

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu dipercayai berlaku pada 15 April lalu kira-…
Berita Domestik
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Hamidi Adam, berkata sebanyak 2,041 kenderaan diperiksa…
Berita Domestik
“Kita telah memeriksa sebanyak 580 buah kenderaan dan jumlah notis yang telah dikeluarkan sebanyak…