Teknologi masa kini yang lebih moden telah melahirkan pelbagai jenis transmisi automatik yang lebih cekap dan mudah untuk dioperasikan, menjadikan populariti transmisi manual kian menurun saban tahun.
Salah satu pasaran utama dunia, iaitu Amerika Utara turut menyaksikan penurunan populariti kereta dengan kotak gear manual, di mana ia pernah mencecah serendah 0.07 peratus sahaja pada tahun 2019.
Adakah kotak gear manual semakin pupus ditelan zaman? Mungkin tidak berdasarkan kajian terbaharu oleh Good Car Bad Car.
Laman tersebut menemukan terdapat peningkatan trend pemilikan kereta bertransmisi manual di pasaran Amerika Utara sejak beberapa tahun kebelakangan ini, di mana angka tersebut meningkat kepada 0.9 peratus pada tahun 2021 dan 1.2 peratus pada tahun 2022.
Angka tersebut berjaya melonjak kepada 1.7 peratus sepanjang tahun 2023, dan sekiranya trend tersebut berterusan, ia mampu mencecah lebih 2 peratus untuk tahun 2024.
Faktor kemunculan semula kereta-kereta sports dan berprestasi tinggi seperti Mazda MX-5, Honda Civic Type R, Subaru WRX, Toyota GR86 dan Ford Mustang nampaknya telah memperbaharui minat golongan muda untuk mendapatkan model bertransmisi manual dalam era automatik ini.
Berdasarkan laporan Motor1, kira-kira 50 peratus pembeli GR86 memilih varian manual, dan 79 peratus daripada jumlah jualan Subaru BRZ juga terdiri daripada model manual.
Bukan itu saja, model-model yang lebih mahal turut mencatatkan peningkatan jualan model bertransmisi manual.
Seperti contoh, BMW M berjaya menjual 50 peratus model M2 2023 bertransmisi manual, sementara 40 peratus daripada model-model Porsche (termasuk 911) terdiri daripada model manual.
Hanya masa yang akan menentukan sama ada peratusan jualan kereta manual akan melonjak naik atau menurun, di mana ia juga turut bergantung kepada 'kesudian' pengeluar automotif untuk terus mengekalkan penawarannya kepada umum.
Tidak dapat dipastikan sama ada transmisi manual akan terus wujud dalam era EV.
Namun, jika anda mengikut rapat perkembangan semasa, ada pihak seperti Toyota sudah mula menunjukkan potensi sebenar kotak gear tersebut untuk dipadankan dengan rangkaian kuasa elektrik, seperti yang diperlihatkan menerusi model Lexus UX 300e dan model restomod AE86 BEV Concept.
Sumber: Good Car Bad Car