Kia Carnival 2025 facelift tampil dengan muka baharu, enjin hibrid 1.6L turbo 242 hp!

oleh Mohamad Hanif|
Bertempat di Chicago Auto Show, Kia telah melancarkan secara rasmi minivan Carnival 2025 untuk pasaran Amerika Utara.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Seperti yang telah dilaporkan sebelum ini, Kia Carnival versi facelift itu kini membawakan muka depan serba baharu yang diinspirasikan daripada Kia EV9, diikuti dengan rekaan jeriji yang jauh lebih lebar.

Unit lampu belakang juga telah dikemaskini dengan rekaan LED berbentuk T.
 

KIA


Tidak seperti Carnival pasaran Malaysia, Kia Carnival spesifikasi US didatangkan dengan pilihan enjin bentangan V6 3.5 liter GDI menghasilkan 287 hp dan 352 Nm.

Namun, pembeli juga boleh mendapatkan Kia Carnival versi hibrid, menampilkan enjin 1.6 liter turbo yang dipadankan dengan motor elektrik berkuasa 54 kW, dan kuasa keseluruhan mencecah 242 hp dan 367 Nm.

Carnival hibrid itu juga dilengkapi dengan rim 17 inci rekaan aerodinamik, diikuti dengan sistem brek regeneratif dan pilihan mod Eco/Smart.
 

KIA


Untuk ruang kabin, terdapat skrin kluster instrumen dan skrin infohibur masing-masing sebesar 12.3 inci, diikuti dengan butang kawalan HVAC di bahagian bawah corong pendingin hawa tengah.

Tuil penukaran gear pula telah digantikan dengan tombol rotari pada konsol tengah bersebelahan dengan tempat meletakkan cawan.

Antara ciri moden lain termasuklah bantuan suara yang mampu membezakan arahan daripada penumpang baris pertama dan kedua, pakej VIP Lounge Seat, sistem infohibur belakang dengan skrin HD sebesar 14.6 inci, serta sokongan kunci digital menggunakan peranti pintar.

Selain daripada ciri keselamatan standard seperti bantuan pengelakan pelanggaran hadapan, Kia Carnival facelift turut mendapat tambahan ciri baharu yang dapat mengelakkan sebarang pelanggaran di persimpangan, penukaran lorong hadapan dan sisi, serta bantuan stereng evasif.