Polis Petaling Jaya nekad buru pemandu mabuk!

oleh SALINA JALIL|
gambar hiasan
Degil dan seolah-olah sengaja mempermainkan undang-undang serta peraturan yang ditetapkan, itu antara tindakan pemandu mabuk di negara ini yang tampaknya memandang enteng peraturan ditetapkan pihak berkuasa.


Bukan sekadar membahayakan nyawa sendiri namun telah banyak nyawa yang menjadi mangsa angkara pemandu mabuk yang disifatkan mementingkan diri ini.

 

Biarpun pelbagai kaedah termasuk advokasi serta operasi yang dijalankan oleh pihak berkuasa terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM), namun kemalangan disebabkan pemandu-pemandu mabuk ini masih terus berlaku.


Memandu kenderaan dalam keadaan tidak waras

 

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, terdapat pelbagai faktor menjadi penyebab kemalangan melibatkan pemandu mabuk ini.

 

"Antaranya memandu dalam keadaan mabuk serta di bawah pengaruh alkohol mengakibatkan seseorang itu tidak normal serta tidak waras membuat sesuatu pertimbangan atau tindakan.

 

"Individu yang dalam keadaan mabuk juga memberikan kesan terhadap pandangan, objek di hadapan kelihatan berpusing serta terawang-awang," katanya menerusi temu bual khas yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, baru-baru ini.

 

Menurut beliau, keadaan sebegini sekali gus akan memberikan kesan terhadap pemanduan.
 

gambar hiasan

 

"Seorang pemandu perlu dalam keadaan fokus ketika dalam pemanduan dan secara langsung memerlukan seseorang itu berada dalam keadaan normal.

 

"Sekiranya mabuk, ia akan menjadikan sesebuah objek itu yang mana jauh akan nampak dekat serta yang dekat akan nampak jauh, manakala yang tepi akan nampak seolah-olah di tengah jalan.

 

"Ini berbahaya bukan sahaja terhadap pemandu itu malahan kepada pengguna jalan raya yang lain," katanya.


 

Tempah maut jika memandu dalam keadaan mabuk

 

Menurutnya, stigma yang menyatakan pemandu mabuk itu masih boleh memandu adalah sama sekali tidak terpakai.

 

"Sedangkan kalau kita lihat, mabuk ini memberikan kesan terhadap perbuatan seseorang itu, mereka adakalanya tidak sedar akan apa yang mereka lakukan.

 

"Dan ini juga termasuk dalam pemanduan dan saya tegaskan fakta yang tidak boleh dinafikan, individu mabuk tidak boleh memandu sama sekali dan sengaja menempah maut sekiranya memandu," tegas beliau.

 

Jelas Mohamad Fakhrudin, waktu malam adalah antara waktu yang mana paling tinggi mencatatkan kes melibatkan pemandu mabuk.

 

"Statistik menunjukkan rekod melibatkan tahun 2020 sehingga 2021, sebanyak 223 kes melibatkan pemandu mabuk yang dikesan pada waktu malam berbanding 10 peratus pada waktu siang.

 

"Ini disebabkan waktu malam menjadi antara waktu mereka yang memandu dalam keadaan mabuk ini berhibur bersama rakan-rakan," katanya.

 

Pelbagai langkah telah diambil pihak berkuasa dalam menangani isu berkaitan pemandu mabuk. Polis Petaling Jaya khususnya mengambil pendekatan dengan mengadakan pelbagai operasi dan advokasi bagi membendung kejadian kemalangan melibatkan pemandu mabuk ini.

 

Mohamad Fakhrudin memberitahu, pihaknya mengadakan operasi alkohol dengan kerap bagi mengesan pemandu -pemandu mabuk ini.

 

"Polis Petaling Jaya kerap mengadakan operasi alkohol mengikut peruntukan undang-undang Akta Pengangkutan Jalan 1987 pada setiap minggu.

 

"Selain itu, pihak kami turut mengadakan kempen serta ceramah berkaitan kesan memandu dalam keadaan mabuk di peringkat sekolah, institusi awam, swasta, kilang serta Komuniti Rukun Tetangga," ujarnya.

 

Menurut Mohamad Fakhrudin lagi, pihaknya turut memperkasakan hebahan mengenai kesan memandu dalam keadaan mabuk ini menerusi media massa serta media sosial.

 

"Maklumat mengenai bahaya memandu dalam keadaan mabuk ini sememangnya penting untuk disebar luas, dan untuk ini sebarang tindakan serta hasil operasi terutamanya melibatkan individu yang dituduh di bawah Seksyen 45 Akta Pengangkutan Jalan 1987 akan dihebahkan menerusi siaran media.
 

 

"Selain itu, kami akan memuat naik menerusi laman Facebook serta Instagram rasmi IPD Petaling Jaya. Langkah diambil ini sebagai pengajaran dan iktibar kepada orang ramai serta kegentaran kepada pemandu mabuk itu sendiri," katanya.
 

 

gambar hiasan

 

Kaedah untuk kenal pasti pemandu-pemandu mabuk

 

Pelbagai kaedah digunakan pihak polis bagi mengenal pasti seseorang individu itu berada di bawah pengaruh alkohol ketika di jalan raya.

 

Mohamad Fakhrudin berkata, antara kaedah yang digunakan adalah menerusi pancaindera semula jadi.

 

"Menerusi pancaindera semula jadi, ia dapat dikesan dari segi percakapan, individu yang dalam keadaan mabuk ini percakapannya tidak stabil selain bau nafas alkohol yang kuat.

 

"Selain itu, keadaan fizikal terutamanya pada wajah iaitu muka serta telinga individu yang mabuk ini dalam keadaan kemerah-merahan," jelasnya.

 

Tambahnya, selain itu pengesanan menerusi alatan khas turut digunakan bagi memastikan seseorang itu mabuk atau tidak.

 

"Polis menggunakan alatan dikenali sebagai [email protected] yang mana menerusi kaedah ini, kadar kandungan alkohol dalam nafas dapat dikesan dengan cepat selain itu saringan awal alkohol dalam nafas serta mesin ujian alkohol turut digunakan.

 

"Polis turut menjalankan ujian darah ke atas pemandu mabuk dan akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk mengesan kandungan alkohol," katanya.
 

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid

 

Jangan ambil tindakan sendiri ketika berhadapan pemandu mabuk

 

Seringkali terdapat kes di mana ada sesetengah individu mengambil tindakan sendiri iaitu dengan mengejar sebelum melakukan sesuatu perbuatan sama ada memukul pemandu mabuk ini.

 

Menjelaskan perkara ini, Mohamad Fakhrudin berkata, dalam soal ini masyarakat dinasihatkan agar tidak mengambil tindakan sendiri apabila berhadapan pemandu mabuk.

 

"Harus kita ingat, mereka yang mabuk ini tidak normal dan tidak sedar, jadi saya nasihatkan terus hubungi pihak polis ketika berhadapan pemandu mabuk.

 

"Elakkan berkonfrontasi dengan pemandu mabuk kerana pemandu mabuk separuh sedar dan corak pemanduan mereka adalah berbahaya, jadi jangan ambil tindakan yang melulu," katanya.

 

Menurut beliau, apa yang penting adalah catatkan maklumat penting mengenai kenderaan yang dipercayai dibawa dalam keadaan yang berbahaya.

 

"Rekodkan nombor, jenis kereta serta warna dan fizikal pemandu yang dipercayai mabuk tersebut.

 

"Selain itu, rekodkan juga masa dan tarikh sekiranya melihat sesebuah kenderaan itu dipandu tidak stabil sama ada ke tepi atau ke tengah dan paling penting terus hubungi pihak polis sekiranya berlaku kemalangan melibatkan golongan ini," katanya.

 

 

Mabuk runtuhkan institusi keluarga dan masyarakat

 

Mabuk merupakan satu ketagihan yang bukan sahaja memberi kesan kepada pelaku malah kepada insan lain.

 

Mohamad Fakhrudin berkata, individu yang mabuk ini seolah tidak merasa nikmat atau bangga diri sekiranya tidak mabuk.

 

"Suka saya ingatkan, tabiat meminum minuman beralkohol tidak dapat memberi ketenangan diri yang berpanjangan.

 

"Sebaliknya boleh memusnahkan diri sendiri, malahan memberikan kesan kepada keluarga dan institusi masyarakat," katanya.

 

Tindakan tegas kepada pemandu mabukTambahnya, IPD Petaling Jaya sememangnya sentiasa menjalankan operasi mabuk ini di sekitar bandar raya ini bagi memastikan kadar kes kemalangan melibatkan pemandu mabuk ini dapat diatasi.

 

"Polis sentiasa komited, kita nak ingatkan bahawa tindakan tegas menanti mereka yang didapati memandu dalam keadaan mabuk.

 

"Jangan jadikan jalan raya sebagai lokasi untuk memuaskan hawa nafsu kita, jadilah pengguna jalan raya yang prihatin dan bertanggungjawab, don't drink and drive," katanya mengakhiri bicara.

 

 

SinarHarian
 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
  "Saman dikeluarkan di bawah Rule 10 LN 166/59 iaitu kesalahan lalai mengawal pergerakan…
Berita Domestik
  Menurut beliau menerusi kajian itu 300 mat rempit tegar berusia 16 hingga 27 tahun di lima…
Berita Domestik
"Hasil siasatan, mendapati treler tersebut tidak sempat membrek apabila kenderaan di hadapannya…