Polis kesan penunggang motosikal hidu gam atas Lebuhraya PLUS

oleh Mohamad Hanif|
Polis sedang mengesan seorang lelaki yang menunggang motosikal dalam keadaan khayal dipercayai menghidu gam seperti yang tular menerusi sebuah video dalam media sosial Facebook, semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, rakaman video berdurasi 40 saat itu telah tular dalam Facebook lebih kurang pada pukul 6.30 petang semalam, memaparkan satu kejadian sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki yang disyaki dalam keadaan khayal.

“Menerusi rakaman tersebut, hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku di Kilometer 267 Lebuhraya Utara-Selatan menuju arah selatan di sini melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha FZ150 berwarna hitam tanpa nombor pendaftaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nanda berkata, video itu memaparkan motosikal itu ditunggang oleh seorang lelaki seorang diri sedang bergerak di lorong tengah lebuh raya.

“Dalam rakaman tersebut juga turut memaparkan suspek yang menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar sedang memegang sambil menghidu bungkusan plastik di tangan kirinya, disyaki sedang melakukan perbuatan menghidu gam,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini suspek terlibat sedang giat dikesan dan dikenal pasti serta siasatan lanjut masih dijalankan.

“Mana-mana orang awam yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian ini, boleh menyalurkan maklumat tersebut ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban di talian 06-6033222 untuk tindakan lanjut oleh pihak polis,” katanya.

Sumber: Utusan

Berita Berkenaan

Berita Global
  Lima daripada yang cedera dalam keadaan kritikal, empat dalam keadaan stabil manakala 16 cedera…
Berita Global
Kejadian ini berlaku pada 27 Oktober 2022, melibatkan kecurian sebuah Lincoln Aviator yang berlaku…
Berita Domestik
  Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, operasi itu bertujuan…