PM arah DBKL atasi segera masalah banjir

oleh Mohamad Hanif|
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) segera menggunakan sumber sedia ada bagi mengatasi masalah banjir kilat yang berlaku di ibu negara, baru-baru ini.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Tanpa mendedahkan jumlah dana yang diperlukan, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, berkata Perdana Menteri antara lain mahu dana kecemasan DBKL bagi tujuan itu dioptimumkan.

"Perdana Menteri telah mengarahkan Menteri Wilayah Persekutuan supaya membelanjakan serta-merta peruntukan daripada sumber DBKL dan kerajaan akan membayar balik nanti bagi menyelesaikan masalah banjir kilat," katanya dalam ucapan pada program Nur Ramadan di sini, malam tadi.

Beliau berkata, dana itu akan digunakan bagi menjayakan perangkaan pelan jangka pendek dan jangka panjang termasuk Kajian serta Konsep Mitigasi untuk Banjir Kilat di Kuala Lumpur dalam usaha meminimumkan impak urbanisasi terhadap persekitaran selain mengimbangi aspek sosial, ekonomi dan kesan persekitaran.

Katanya, antara pelan itu ialah mengenal pasti lokasi hotspot secara terperinci, mengenal pasti sistem saliran sedia ada yang tidak dapat menampung kapasiti air hujan serta merangka penyelesaian mitigasi konseptual untuk lokasi hotspot banjir.

"Bagi menjalankan kajian ini, DBKL telah melantik IKRAM (Institut Kerja Raya Malaysia) selaku perunding. Kajian ini mengambil masa 12 bulan dan membabitkan lima fasa," katanya.

Beliau berkata, antara langkah jangka pendek termasuk menempatkan pasukan pemantau di lokasi hotspot dan menempatkan pam mudah alih di kawasan hotspot banjir yang berfungsi memindahkan lebihan air bertakung ke kawasan bersesuaian seperti kolam takungan banjir.

Shahidan berkata, antara pelan jangka pendek lain ialah pembelian lebih banyak pam mudah alih yang akan dilaksanakan serta-merta dan penggunaan beg pasir sebagai langkah mitigasi selain menempatkan 25 pasukan di lapangan bagi proses pembersihan kawasan hotspot banjir bermula esok.

Katanya, pelan jangka panjang pula termasuk membina 'On Site Detention' (OSD) bawah tanah untuk menampung lebihan air apabila 'Flap Gate' tertutup selain menaik taraf sistem perparitan sedia ada membabitkan lapan projek termasuk di Jalan Jinjang, Sungai Kayu Ara, Sungai Toba dan Segambut Dalam. – BERNAMA

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Atas dasar ingin membantu, Scrut Auto kini melanjutkan tempoh operasi mereka sehingga ke 10 malam…
Berita Domestik
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamad berkata projek itu terbatal…
Berita Domestik
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peralihan fasa itu sekali gus membolehkan…