Projek HSR KL-Singapura - kerajaan belum putuskan untuk sambung atau tidak

oleh Mohamad Hanif|
Kerajaan masih belum memutuskan sama ada projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura akan disambung atau sebaliknya memandangkan ia masih lagi dalam perbincangan peringkat awal.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamad berkata projek itu terbatal apabila perjanjian dua hala mengenai projek HSR dari Kuala Lumpur ke Singapura luput pada 31 Dis, 2020.

Bagaimanapun katanya, dalam pertemuan antara Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong pada 29 Nov 2021, cadangan untuk merunding semula projek HSR antara Kuala Lumpur dan Singapura telah dibangkitkan.

"Dalam responnya, Perdana Menteri Singapura terbuka untuk menerima cadangan baharu daripada Malaysia untuk projek HSR ini.

"Saya ingin menekankan bahawa kemungkinan untuk menghidupkan semula projek HSR Kuala Lumpur-Singapura ini masih dalam perbincangan peringkat awal," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Lim Guan Eng (Bagan-DAP) berhubung anggaran kos projek HSR Kuala Lumpur-Johor Bahru akan dibatalkan untuk diganti dengan cadangan memulihkan HSR Kuala Lumpur-Singapura dan sama ada kerajaan dapat memastikan harga asalnya sebanyak RM100 billion boleh dikurangkan kepada RM50 bilion.

Sehubungan itu, Mustapa berkata persoalan Lim sama ada kos projek HSR Kuala Lumpur-Singapura boleh dikurangkan kepada RM50 bilion adalah tidak berbangkit.
 

HSR


Mengikut anggaran yang telah dibuat oleh Malaysia, di bawah model yang dicadangkan iaitu HSR 2.0 (Baharu), kos projek adalah jauh lebih rendah dengan kos cadangan HSR 1.0 dan HSR 2.0.

Menurut Mustapa, di antara struktur model yang terkandung dalam cadangan HSR 1.0 dan 2.0 ialah pewujudan syarikat Assetco.

"AssetCo adalah sebuah syarikat yang dimiliki oleh pihak swasta dan dikawal selia bersama oleh kerajaan Malaysia dan Singapura. Syarikat ini berfungsi sebagai pemilik sistem dan aset kereta api yang bertanggungjawab untuk membina, membiayai, dan menyelenggara sistem dan aset kereta api serta melaksanakan perolehan dan penyelenggaraan stokereta.

"Di bawah model HSR 2.0 (Baharu) yang dikemukakan kepada pihak Singapura, Malaysia telah mencadangkan supaya AssetCo dimansuhkan. Cadangan ini tidak dipersetujui oleh pihak Singapura. Dengan itu, perjanjian dua hala yang ditandatangani pada 13 Dis, 2016 telah terbatal," jelas Mustapa.

Sementara itu, beliau berkata apabila HSR Kuala Lumpur-Singapura terbatal, kerajaan memutuskan supaya kajian daya maju projek HSR Kuala Lumpur – Iskandar Puteri dilaksanakan.

Kajian yang mula dilaksanakan pada Februari 2021 itu telah selesai dan akan dibentangkan di kabinet dalam masa terdekat untuk menentukan hala tuju cadangan projek ini.

Beliau juga menjelaskan bahawa sejak tahun 2013, kesemua rundingan mengenai projek HSR diketuai oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Bagaimanapun, Mustapa berkata pada pertengahan 2020, jemaah menteri telah memutuskan agar beliau mengetuai rundingan untuk memuktamadkan projek berkenaan dengan Singapura.

"Pada masa ini, kerajaan sedang dalam proses memindahkan syarikat MyHSR Corp Sdn Bhd, syarikat tujuan khas yang bertanggungjawab merundingkan hal-hal teknikal mengenai projek HSR daripada pengawasan Jabatan Perdana Menteri kepada Kementerian Pengangkutan.

"Oleh hal yang demikian, kesemua perbincangan dan rundingan seterusnya mengenai hala tuju projek ini akan dikendalikan oleh Kementerian Pengangkutan," katanya.

Sumber: BERNAMA

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Beliau berkata, apa yang perlu dipertimbangkan sekarang ialah isu pengambilan tanah serta…
Berita Domestik
  "Kita tidak akan menghalang. Perdana Menteri telah memberikan arahan kepada saya, bahawa kita…
Berita Domestik
Perdana Menteri berkata, ketika ini Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong dan rakan…