PLUS nafi dakwaan tidak hulur bantuan kepada pelakon

oleh Mohamad Hanif|
gambar sekadar hiasan
PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menafikan pihaknya tidak memberikan bantuan awal berhubung kerosakan yang dialami kenderaan milik pelakon, Zara Zya seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Ketua Perhubungan Korporat, Komuniti dan Awam PLUS, Syed Mohamed Idid berkata, berdasarkan siasatan yang dijalankan, insiden tersebut dilaporkan berlaku pada 12 Oktober lalu kira-kira pukul 4.34 petang apabila Pusat Kawalan Trafik (TMC) PLUS dihubungi oleh seorang rakan pengadu yang memaklumkan tentang kejadian tersebut.

“Memandangkan informasi yang diberikan agak kurang jelas dan berkemungkinan berlaku di lebuhraya kendalian syarikat lain, pegawai kami telah menasihatkan supaya beliau menghubungi pihak Guthrie Corridor Expressway (GCE) sebelum pengadu menghubungi semula PLUS.

“Pada pukul 4.37 petang setelah mengesahkan kejadian tersebut berlaku di kilometer (KM) 9.2 (Arah Selatan) di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), iaitu kira-kira tiga hingga empat kilometer dari sempadan lebuhraya GCE,” jelasnya melalui satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, pada masa yang sama, sepasukan PLUSRonda yang sedang melalui laluan terbabit turut ternampak sebuah Toyota Vellfire yang terkandas di lorong kecemasan dan telah berhenti di lokasi untuk memberikan bantuan kira-kira pukul 4.45 petang.

“Ini dapat disahkan setelah PLUS meneliti rakaman kamera yang dipasang pada kenderaan PLUSRonda serta rekod pergerakan pasukan PLUSRonda terbabit menerusi GPS.

“Sejurus berhenti di lokasi, pasukan PLUSRonda telah dimaklumkan bahawa selebriti tersebut telahpun terlebih dahulu menghubungi syarikat tunda lain dan sedang menunggu ketibaan trak tunda terbabit,”katanya.

Ujarnya, setelah pengesahan diberikan, pasukan PLUSRonda telah turut meletakkan kon-kon keselamatan di belakang kenderaan selebriti terbabit sebagai langkah keselamatan dan mengelakkannya lebih terdedah kepada risiko dilanggar oleh kenderaan lain sebelum beredar dan meneruskan rondaan untuk memberikan bantuan kepada kenderaan yang lain di NKVE.

Terdahulu, Kosmo! pada 28 Oktober lalu menyiarkan satu artikel mengenai pelakon drama bersiri Seadanya Aku tersebut meluahkan rasa ketidakpuasan hatinya terhadap perkhidmatan syarikat konsesi lebuhraya itu yang tidak memberi bantuan sepatutya ketika dia mengalami kesulitan setelah tayar keretanya pecah di lebuhraya terbabit. – K! ONLINE.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menurut laporan daripada Kosmo!, kesesakan trafik berlaku di tol Bandar Seri Putra, Bangi…
Berita Domestik
Malah, pembayaran tol menggunakan RFID bakal diperkenalkan secara rasmi untuk pengguna kenderaan…
Berita Domestik
Tindakan NGO itu sepatutnya dimaafkan kerana mereka mungkin pertama kali turun membantu dan…