Sebelum ini, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dilaksanakan di seluruh negara, bengkel kenderaan dan perniagaan alat ganti termasuk kedai tayar dibenarkan untuk beroperasi, dan ia tertakluk dengan terma ‘bengkel kenderaan, penyelenggaraan dan alat ganti’.
Tetapi dengan SOP terkini yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) , pusat servis dan bengkel kenderaan tidak dibenarkan untuk terus beroperasi (dalam kawasan PKPD), walau pun melibatkan kerja-kerja membaikpulih yang kritikal, servis berjadual atau penyelenggaraan am.
Careta percaya bahawa syarikat pengeluar kereta akan mengumumkan lanjutan servis berkala dan tempoh waranti dalam tempoh ini dalam masa terdekat.
Sementara itu, bengkel yang berada di kawasan yang tidak terlibat dengan PKPD masih dibenarkan beroperasi tetapi masih perlu mematuhi SOP yang ketat.
Untuk bilik pameran kendaraan di seluruh negara, ia masih mengekalkan peraturan terdahulu iaitu tidak dibenarkan beroperasi (tempahan cuma boleh di dalam talian sahaja), termasuk juga dengan kilang pengeluaran kenderaan di mana dilarang untuk beroperasi sepanjang tempoh PKP penuh.
Untuk pusat mencuci kereta pula, ia akan dibenarkan untuk kembali beroperasi dalam Fasa Kedua di bawah Pelan Pemulihan Nasional (PPN) nanti.