PKP 3.0: Hampir 50% kompaun di Kelantan kerana rentas negeri, daerah

oleh SALINA JALIL|
gambar hiasan
Hampir separuh daripada kompaun pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dikeluarkan polis Kelantan membabitkan kesalahan rentas negeri dan daerah tanpa surat kebenaran.


Timbalan Ketua Polis Kelantan SAC Abdullah Muhammad Piah berkata sejumlah 496 kompaun dikeluarkan kepada individu dan premis yang didapati melanggar SOP sejak 1 Jun hingga 23 Jun 2021

 

"Kompaun paling banyak yang dikeluarkan adalah melibatkan kesalahan rentas negeri dan daerah tanpa surat kebenaran iaitu sebanyak 204 kompaun," katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Pulau Tukang Dollah dekat Kemumin, Pengkalan Chepa di Kota Bharu bermula hari ini hingga 8 Julai.

 

Beliau berkata kesalahan lain turut direkodkan ialah tidak memakai pelitup muka (110); premis perniagaan gagal menyediakan peralatan pemeriksaan suhu dan rekod diri pelanggan (69); individu terlibat aktiviti tidak dibenarkan ketika PKP (39); tiada penjarakan fizikal (31); keluar rumah tanpa alasan munasabah (25); premis beroperasi lebih masa (12); dan membawa penumpang berlebihan (enam).

 

Bagi kesemua kesalahan ini, polis hanya mengeluarkan kompaun mengikut kadar ditetapkan dalam SOP tetapi keputusan muktamad terserah kepada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan setiap kompaun masih boleh dibuat rayuan dalam tempoh yang ditetapkan oleh kerajaan, katanya.

 

Mengenai PKPD di Kampung Pulau Tukang Dollah, Abdullah berkata sebanyak 25 anggota daripada pelbagai agensi keselamatan akan ditugaskan bagi mengawal serta memantau kawasan itu sepanjang PKPD dilaksanakan.

 

"Kami dapati di kampung ini ada empat laluan keluar masuk dan kesemuanya akan disekat mulai tengah malam ini termasuk satu laluan akan dipasang kawat duri.

 

"Kami harap 886 orang penduduk di sini akan sentiasa mematuhi peraturan dan jangan cuba untuk keluar masuk sesuka hati," katanya.

 

 

 

-- BERNAMA

Berita Berkenaan

Berita Domestik
  Menurutnya, bagaimanapun tidak ada cara untuk menguatkuasakan cadangan itu kerana SJR tidak akan…
Berita Domestik
Langkah tersebut diumumkan susulan peralihan fasa yang membabitkan sebahagian negeri di dalam Pelan…
Berita Domestik
  Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal…