"Siasatan itu dilakukan hasil dari tindakan dalaman Polis Diraja Malaysia (PDRM) di mana kita menjalankan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan anggota yang terbabit dengan penguatkuasaan ini mengikut SOP.
"Berhubung penemuan semalam, kes ini masih dalam siasatan, kita perlu siasat sama ada wang yang ditemui adalah wang milik sendiri atau ada elemen-elemen lain," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen dan Advokasi Keselamatan Jalan Raya Sempena Tahun Baru Cina 2024 di Plaza Tol Puchong Selatan pada Isnin.
Ahad lalu, pihak media melaporkan 10 anggota polis trafik termasuk seorang pegawai berpangkat Inspektor disiasat berhubung penemuan wang berkenaan di dalam beg dan kereta peronda mereka ketika menjalankan Op Alkohol.
Mengulas lanjut, dalam perkembangan lain, kata Hussein, berkuat kuasa pada Isnin, Polis Selangor telah mengeluarkan mobiliti 575 anggota sarjan ke bawah yang terlibat dalam penugasan barisan hadapan.
"Anggota Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang telah bertugas lebih enam tahun akan ditukarkan ke unit lain.