Crossover segmen C ini bukan sahaja akan ditawarkan dalam versi elektrik, akan tetapi versi hibrid ringan juga dijangka menyusul kelak.
Peugeot E-3008 membawakan ukuran dimensi sepanjang 4,540 mm, lebar 1,890 mm, tinggi 1,640 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,739 mm.
Ruang storan adalah sebesar 470 liter untuk versi AWD, atau sehingga 520 liter untuk versi pacuan roda depan.
Terdapat sehingga 17 ruang storan tambahan disediakan dengan jumlah keseluruhan mencecah 34 liter.
Bahasa rekaan Peugeot ditampilkan dengan pendekatan yang lebih moden, seperti contoh lampu nyalaan siang LED berbentuk taring, logo Peugeot yang lebih besar, serta unit lampu yang lebih nipis dengan teknologi suluhan adaptif.
Ruang kokpit Peugeot E-3008 kini menampilkan panel i-Cockpit sebesar 21 inci melengkung yang menempatkan skrin kluster digital dan skrin infohibur.
Di bahagian tengah, Peugeot menyediakan butang kawalan sensitif sentuhan i-Toggles yang boleh disesuaikan mengikut citarasa pemilik.
Ciri opsyen yang ditawarkan termasuklah fungsi ventilasi, urut, dan bolster sisi boleh laras untuk tempat duduk penumpang.
Sementara tempat duduk hadapan Peugeot E-3008 ini dikatakan boleh membantu mengurangkan sakit belakang dan ia telah diiktiraf sendiri oleh AGR (Aktion fur Gesunder Rucken) - sebuah pertubuhan Jerman yang dianggotai oleh doktor dan pakar yang menjalankan kajian terhadap sakit tulang belakang.
Untuk permulaan, Peugeot E-3008 2024 ini boleh dipadankan dengan tiga pilihan trenkuasa elektrik.
Versi asas hadir dengan motor elektrik pacuan roda depan berkuasa 210 hp dan 343 Nm, pek bateri Nickel-Manganese-Cobalt (NMC) 400 voltan berkapasiti 73 kWh dengan jarak gerak sejauh 525 km untuk sekali cas penuh.
Terdapat versi motor elektrik berkembar dengan kehadiran motor elektrik kedua pada gandar belakang berkuasa 111 hp dan 166 Nm.
Secara keseluruhan, versi pacuan semua roda ini mampu menjana kuasa setinggi 320 hp, dengan jarak gerak sehingga 525 km untuk sekali cas penuh - sama seperti model FWD.
Ini memberikan petanda E-3008 versi AWD dilengkapi dengan sistem yang boleh menyahaktif motor elektrik belakang untuk jarak gerak yang lebih jauh bergantung kepada situasi pemanduan semasa.
Mereka yang lebih mementingkan perjalanan jauh tanpa perlu singgah stesen pengecasan dengan lebih kerap boleh mendapatkan E-3008 dengan pek bateri 98 kWh, dan motor elektrik pacuan roda depan berkuasa 230 hp dan 344 Nm.
Untuk sekali cas penuh, E-3008 versi jarak jauh ini mampu menawarkan jarak pemanduan sehingga 700 km.
Peugeot E-3008 menyokong pengecasan AC tiga fasa sehingga 11 kW, atau pilihan naik taraf sehingga 22 kW, diikuti pengecasan pantas DC sehingga 160 kW yang membolehkan bateri dicas 20-80 peratus (SoC) dalam masa 30 minit.
Fungsi vehicle-to-load (V2L) juga turut ditawarkan pada E-3008, dengan kuasa sehingga 3 kW atau 16 A untuk kegunaan barangan perkakas rumah atau mengecas peranti pintar.
Fungsi pengecasan pintar V1G pula membolehkan pemilik menentukan masa pengecasan dan penggunaan tenaga elektrik rumah yang bersesuaian untuk mengurangkan kos serendah mungkin.
Generasi ketiga Peugeot E-3008 ini akan dibina di kilang Stellantis di Sochaux, Perancis, di mana unit SUV tersebut akan diedarkan di pasaran Eropah dan pasaran lain menjelang akhir tahun ini.