Perodua bakal pamer teknologi EV di MAS 24

oleh HEZERI SAMSURI|
Perodua akan menampilkan pameran yang menunjukan kebolehan teknikal mereka sendiri di dalam bidang kepakaran kereta elektrik (EV) semasa pameran Malaysia Auto Show 2024 yang bakal berlangsung di MAEPS bermula dari 22 hingga 26 Mei ini.

Menurut sumber-sumber Careta, konsep yang dikemukakan lebih kepada teknologi EV yang mungkin akan digunakan di dalam produk mereka kelak.

Umum mengetahui bahawa Perodua sudah menyahut cabaran kerajaan untuk menghasilkan sendiri EV mereka yang akan dijual dengan harga di bawah paras RM100,000.

Perodua akan bergabung tenaga dengan vendor-vendor tempatan serta sebuah syarikat perunding pakar dari Eropah untuk produk Ev pertama mereka.

Dari apa yang Careta difahamkan, Perodua bergerak secara sendiri untuk projek ini, dan ia bukan di bawah seliaan Daihatsu.

Careta juga melihat Perodua membuat kajian sendiri untuk platform EV mereka dan ini ialah satu perkembangan yang menarik kerana ia tidak akan diasaskan oleh mana-mana platform sedia ada.

Menurut sumber dalaman Careta, projek-projek berkaitan produk Daihatsu yang sepatutnya dilancarkan tahun ini akan ditunda untuk menyelesaikan semua isu-isu kualiti yang dibongkarkan oleh Toyota beberapa bulan lalu.

Ini termasuk pelancaran SUV hibrid saiz sederhana Perodua dan juga Toyota. 

Yang pasti, Perodua semakin menyerlah dalam bidang kejuruteraan automotif di mana mereka mahu terus menghasilkan produk-produk mereka sendiri dan kemudian boleh digunakan oleh jenama-jenama lain di bawah payung Toyota untuk pasaran luar.

Cara ini ialah jalan yang pasti untuk mengembangkan pengetahuan dan kebolehan kepakaran automotif tempatan.

Lawati Perodua di MAS 24 nanti. Info lanjut berkaitan pameran itu boleh didapati di laman web austoshow.my

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menurut Perodua, Myvi Conversion itu bukanlah satu produk yang siap untuk dijual, atau akan dijual…
Pelancaran
Menggunakan enjin B48 4-silinder dengan bantuan sistem hibrid ringkas 48V, ia memberikan tenaga…