Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Pahang, Ahmad Azlan Abu Bakar berkata, rakyat cukup sengsara akibat keadaan jalan raya di Pahang yang sangat teruk kondisinya khususnya di musim tengkujuh.
Menurutnya, akibatnya ramai rakyat yang terkesan dengan keadaan jalan raya ini seperti tayar bocor, kemalangan, rim tayar bengkok dan beberapa lagi musibah yang menjerut kewangan rakyat.
"Kita dapat melihat musibah jalan runtuh di Jalan Kuantan-Muadzam Shah yang saban tahun akan terputus setiap kali musim tengkujuh.
"Terdapat beberapa jalan lagi yang kerap mengalami kerosakan antaranya di Jalan Perindustrian Gebeng di dalam DUN (Dewan Undangan Negeri) Beserah, Jalan Maran-Temerloh (dua) dan saya kira banyak lagi jalan raya di DUN lain turut menerima nasib yang sama," katanya pada Khamis.
Beliau menjelaskan permasalahan ini kerap kali diketengahkan pemimpin daripada Pas termasuk Perikatan Nasional (PN).
"Sebagai contoh baru-baru ini YB (Yang Berhormat) Andansura Rabu (iaitu) ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Beserah turut mempersoalkan tentang permasalahan yang sama di DUN dan YB DUN yang lain turut mengangkat status jalan raya rosak di kawasan mereka yang boleh diibaratkan periuk api buat penduduk.
"Di sini, saya tegaskan satu solusi jangka panjang yang tuntas wajib dilaksanakan bagi memastikan rakyat boleh menggunakan perkhidmatan jalan raya di Pahang ini dengan selamat," katanya yang tidak menafikan ada usaha telah dilakukan kerajaan Pahang dan agensi berkaitan menangani permasalahan itu.
Sementara itu, ADUN Sungai Lembing, Mohamad Ayub Mat Ashri berkata, banyak aduan jalan rosak yang diterima telah diajukan kepada JKR supaya dibaiki segera.
Menurutnya, jalan utama ke pekan Sungai Lembing yang menghubungkan bandar Kuantan oleh warga Felda Bukit Kuantan, Bukit Sagu dan Bukit Goh adalah disifatkan sangat teruk serta uzur.
"Jalan-jalan ini bukan saja sempit dan merekah, bahkan banyak yang telah berlubang dan sering kali perlu ditampal setiap kali berlaku musim tengkujuh.
"Jalan ini telah beberapa kali saya bangkitkan kepada kerajaan di dalam sidang DUN untuk dinaik taraf dengan diganti jalan yang baharu, bahkan pada masa yang sama jalan ini perlu dilebarkan bagi memberi keselesaan kepada pengguna apabila berselisih dengan kenderaan berat," katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan Pahang mengambil serius isu masalah jalan berlubang ini kerana ia bukan sahaja boleh menyebabkan kemalangan yang meragut nyawa selain merosakkan harta benda pengguna.
Jelasnya, keberadaan kerajaan Pahang yang selari dengan kerajaan Pusat, sepatutnya lebih memudahkan kerajaan negeri untuk memohon peruntukkan sekali gus dapat menyelesaikan masalah jalan-jalan ini.
Mohamad Ayub berkata, kerajaan Pahang melalui agensi di bawahnya perlu memantau dengan rapi proses pembaikan jalan yang dilakukan oleh kontraktor yang dilantik.
"Kita tidak mahu mereka melakukan kerja ‘umpama melepaskan batuk di tangga’. Ada jalan yang sudah ditampal tapi tidak sampai beberapa hari telah berlubang semula.
"Hal ini bukan saja tidak memberikan manfaat kepada rakyat malah merugikan duit rakyat. Kontraktor yang untung duit rakyat yang binasa. Janganlah wang rakyat dibazirkan dengan mengulang kerja yang sama dengan kualiti yang tidak sepatutnya," katanya.