Penduduk, Hassan Serian, 56, berkata penduduk, terutama petani yang mempunyai kebun perlu berhati-hati menunggang motosikal bagi mengelak terjatuh ke dalam lubang.
"Sebelum ini jalan berturap lebih kira-kira tiga kilometer untuk kami ke kebun, tetapi sejak 10 tahun lalu, keadaan jalan semakin teruk apabila menjadi laluan air yang turun dari bukit.
"Jalan tar akhirnya pecah dan berlubang, kami hendak ke kebun memang sukar, tambahan pula bagi wanita yang menunggang motosikal ke kebun," katanya di Berita Harian.
Hassan berkata, air yang turut membawa pasir dan batu itu turut menyebabkan bahagian depan rumahnya dikambus puing berkenaan sehingga setengah meter.
Katanya, dia terpaksa mengorek dan membuang pasir berkenaan bagi mengelak rumahnya 'tenggelam' dengan pasir berkenaan.
"Apabila musim panas, pengusaha ladang ada bantu untuk ratakan jalan ini tetapi itu hanya bersifat sementara, apabila musim hujan jalan ini akan rosak semula," katanya.
Seorang lagi penduduk, Zanidah Abdullah, 43, mendakwa hutan yang ditarah untuk projek perladangan menyebabkan rumah pusaka mereka sering dimasuki air.
Katanya, dia sangat berharap kerajaan dapat membuat longkang dan menurap jalan di depan rumahnya semula bagi mengelak kejadian sama berulang.
"Saya terpaksa buang batu-batu yang turun bersama air dari bukit, dalam masa yang sama saya terpaksa bersihkan rumah setiap kali air masuk ke rumah.
"Saya pula menjaga adik orang kurang upaya (OKU), suami pula sudah meninggal akibat kemalangan jalan raya 10 tahun lalu. Saya letih terpaksa berdepan keadaan sama setiap tahun.
"Pada musim hujan, air masuk hingga lima ke enam kali sebulan, tepi rumah saya pun sudah berlaku hakisan. Saya sangat susah hati sekiranya berlaku kejadian tidak diingini. Pada musim kemarau ini saya harap kerajaan dapat segera membuat longkang untuk keselamatan penduduk," katanya.