Pengguna KTM boleh guna kad kredit, kad debit, Touch 'n Go dan Kod QR mulai November

oleh Penyumbang Rencana|
gambar hiasan
Pengguna komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Lembah Klang akan dapat menikmati mod pembayaran terbuka mulai pertengahan November tahun ini.

Ia termasuk penggunaan kad kredit, kad debit, Touch 'n Go dan Kod QR melalui aplikasi mobile KTMB (KITS), menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke pada Khamis.
AION MREC Banner Campaign May 2024

Katanya, penaiktarafan sistem tiket atau Automatic Fare Collection (AFC) kini hampir selesai di kesemua 57 stesen KTMB di sekitar Lembah Klang.

"Mulai pertengahan November 2023, pengguna KTMB dapat menikmati kemudahan baru di kesemua 57 stesen KTMB Komuter di Lembah Klang.

"Semua stesen itu akan dilengkapi dengan alat pengimbas di gantri yang menyokong kaedah pembayaran terbuka termasuk kad kredit, kad debit, Touch-n-Go dan Kod QR melalui KITS.

"Jumlah kos projek adalah sebanyak RM29 juta," katanya di Dewan Rakyat menjawab soalan Wong Chen (PH-Subang) yang meminta beliau menyatakan peratusan pelaksanaan sistem pembayaran terbuka dalam rangkaian pengangkutan awam Lembah Klang terutamanya rangkaian Prasarana seperti LRT, MRT dan bas Rapid KL.

Loke juga berkata, sistem pembayaran terbuka melibatkan rangkaian perkhidmatan rel di Lembah Klang dijangka siap sepenuhnya pada Ogos 2025.

Katanya, Prasarana sedang memuktamadkan pelan pelaksanaan tersebut untuk rangkaian Rapid Rail merangkumi Laluan LRT Kelana Jaya, Laluan LRT Ampang, Laluan MRT Kajang, Laluan MRT Putrajaya dan Monorail.

Menurutnya, sistem baru ini akan memperkenalkan penggunaan MyDebit dan Kad Kredit sebagai mod pembayaran tambahan di gantri selain kaedah pembayaran sedia ada menggunakan kad Touch-n-Go atau token.

"Kerja-kerja ‘Design and Development’ dijangka mula pada Mac 2024.

"Prasarana akan mengambil tempoh 11 bulan iaitu sehingga Februari 2025 untuk menyiapkan 50 peratus daripada gantri di setiap stesen untuk menerima kaedah pembayaran terbuka.

"Menjelang Ogos 2025, semua gantri di setiap stesen akan siap," katanya.

Tambahnya, sekiranya perlu, sistem ini akan terus diperkembangkan dengan membolehkan penggunaan mod pembayaran yang lain seperti Kod QR dalam fasa pelaksanaan seterusnya.

 

Astro Awani

Berita Berkenaan

Informasi
Dalam kenyataan hari ini, KTMB memaklumkan pihak penyewa berkenaan telah mematuhi syarat ditetapkan…
Informasi
  "KTMB sudah pun menggunakan platform digital untuk penjualan tiket yang membolehkan orang ramai…
Informasi
"Enam perkhidmatan ETS adalah melibatkan dua perkhidmatan laluan untuk KL Sentral - Padang Besar -…