Penganalisis - Tesla dijangka perkenal Model 3 harga serendah RM160,000

oleh Penyumbang Rencana|
gambar dari Car and Driver
Tesla berkemungkinan melancarkan kereta elektrik (EV) Model 3 yang ditawarkan pada harga permulaan RM160,000 yang bakal mewujudkan daya saing serta mengurangkan daya tarikan EV sedia ada di pasaran Malaysia.

Penganalisis RHB Investment Bank Bhd, Jim Lim Khai Xhiang, berkata jika jangkaan ke atas cadangan Tesla itu berlaku, ia dijangka memberi desakan kepada jenama EV lain untuk menurunkan harga produk masing-masing, seterusnya memacu kadar pengambilan kenderaan sedemikian di negara ini.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

"Tesla merangsang persaingan EV dengan pelancaran Model Y pada harga permulaan RM199,000. Meskipun belum disahkan, sumber berita automotif dalam talian berkata Tesla mungkin melancarkan Model 3 yang mungkin ditawarkan pada harga permulaan RM160,000.

"Pada pandangan kami, harga yang berdaya saing ini dapat mengurangkan daya tarikan produk EV sedia ada dan mungkin mendesak jenama lain untuk menurunkan harga mereka, lantas mempercepatkan kadar ambilan EV di Malaysia," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Minggu lalu, Tesla secara rasmi melancarkan kenderaan utiliti sukan (SUV) Model Y elektrik sepenuhnya di Malaysia yang ditawarkan pada harga bermula daripada RM199,000 (RWD); RM246,000 bagi Model Y varian jarak jauh dan RM288,000 bagi Model Y prestasi tinggi.

Tempahan untuk model itu telah dibuka dan penyerahan pertama Model Y kepada pelanggan adalah pada awal 2024.

Model Y adalah model elektrik paling laris di dunia dan menjadi antara kereta paling selamat di jalan raya dengan penarafan 5-bintang daripada NHTSA dan Euro NCAP.

 

tesla

Sebelum ini, penganalisis automotif dan Pengarah Editor Careta, Hezeri Samsuri berpandangan, langkah Tesla menawarkan harga permulaan Model Y jauh di bawah anggaran ramai pihak dan di lihat memberi tamparan hebat kepada jenama EV lain di Malaysia.

Tawaran pengeluar EV milik hartawan terkemuka, Elon Musk juga memberi kesan kepada jenama lain, lebih-lebih lagi dengan kedudukan Tesla sebagai jenama premium dalam rangkaian produk EV dunia.

Sementara itu, Khai Xhiang berkata, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) meramalkan jumlah keseluruhan industri (TIV) 2023 bakal memecah rekod tertingginya kepada 725,000 unit berbanding pencapaian kemuncaknya 720,658 unit tahun lalu.

"Susulan pengumuman TIV Jun, MAA menyemak semula unjuran TIV tahun ini kepada 725,000 berbanding ramalan awal 650,000 yang mungkin menjadi rekod tertinggi dalam sejarah.

"Dengan TIV separuh pertama 2023 sebanyak 366,000 unit, anggaran 725,000 unit oleh MAA memerlukan TIV separuh kedua 2023 sebanyak 360,000 unit atau bulanan sejumlah 59,800 unit," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, RHB Investment Bank mengekalkan unjuran setahun penuh kepada 680,000 unit, meskipun MAA menyemak semula TIV 2023 kepada angka yang lebih tinggi.

"Ramalan TIV 2023 kami pula ialah 680,000 merangkumi 314,000 unit untuk TIV separuh kedua tahun ini atau bulanan 52,300 unit.

"Biarpun anggaran MAA tidak dianggap keterlaluan (memandangkan jumlah pesanan tertunggak yang tinggi bagi jenama utama) dengan dorongan kecil daripada jenama baharu (seperti BYD dan Chery), kami memilih untuk mengambil pandangan konservatif dan kekalkan anggaran 680,000 unit.

"Kami ambil maklum bahawa jika TIV pada 2H23 masih lebih tinggi berbanding jangkaan kami, maka akan adanya risiko positif terhadap anggaran 680,000 kami," katanya.

Minggu lalu, MAA mengumumkan jualan kenderaan bermotor baharu terus berkembang kukuh pada separuh pertama 2023, dengan TIV meningkat 10.3 peratus kepada 366,037 unit berbanding 331,746 unit dalam tempoh sama 2022.

MAA berkata, jualan kukuh oleh pengeluar kereta nasional juga menyumbang secara ketara terhadap TIV yang lebih tinggi pada separuh pertama 2023.

Dalam tempoh enam bulan tahun ini, jumlah jualan kereta nasional berjumlah 220,702 unit, meningkat 19 peratus dari tahun ke tahun, sekali gus menjadikan penguasaan pasaran kereta nasional dalam kenderaan penumpang sekitar 68 peratus daripada TIV pada separuh pertama 2023.

 

 

 

Berita Harian

Berita Berkenaan

Berita Global
Dalam notis kepada negeri Texas dan California, Tesla memaklumkan akan mengurangkan 3,332 pekerjaan…
Berita Domestik
Antaranya ialah tempat duduk hadapan serba baharu dengan lencana Ludicrous Mode, spolier belakang…
Berita Global
Ketika ini Tesla sedang bergelut dengan perang harga dan penurunan jualan bagi kenderaan elektrik (…