Penganalisis - Harga EV keluaran PERODUA dijangka RM50,000 hingga RM100,000

oleh Penyumbang Rencana|
Harga kenderaan elektrik (EV) yang bakal dikeluarkan oleh PERODUA dijangka berada dalam julat RM50,000 hingga RM100,000, demikian menurut penganalisis menurut laporan dari Berita Harian.

Penganalisis Kenanga Research, Wan Mustaqim Wan Ab Aziz, berkata jangkaan jualan bagi tempoh awal projek EV Kebangsaan oleh PERODUA itu ialah kira-kira 10,000 unit.

Beliau berkata, berdasarkan libat urus dengan MBM Resources Bhd baru-baru ini, kumpulan automotif itu membayangkan 2025 akan menjadi tahun yang sangat menarik dengan kemunculan model baharu PERODUA D66b pada awal 2025 dan model EV PERODUA menjelang akhir 2025.

"Model EV PERODUA keluaran tempatan dijangka berharga dalam julat RM50,000 hingga RM100,000 dan diharapkan dapat dijual 10,000 unit dalam tempoh awal projek EV Nasional oleh PERODUA," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Mengenai permintaan terhadap EV di negara ini, Wan Mustaqim berkata, pihaknya percaya permintaan untuk kenderaan sedemikian akan disokong oleh banyak model baharu dan pengurangan cukai jalan untuk EV baru-baru ini.

Beliau berkata, pihaknya juga meningkatkan unjurannya bagi jumlah keseluruhan industri (TIV) 2024 sebanyak empat peratus kepada 740,000 unit berbanding 710,000.

"Kami turut mengambil pandangan yang lebih yakin mengenai model D66b dan EV PERODUA yang dijadualkan untuk dilancarkan tahun depan.

"Kami percaya walaupun ia akan menjadi perniagaan seperti biasa untuk segmen mampu milik, rasionalisasi subsidi bahan api berkemungkinan akan menjejaskan permintaan untuk model pasaran pertengahan," katanya.

Pada Malaysia Autoshow 2024 (MAS 2024) baru-baru ini, PERODUA mempamerkan prototaip EV pertama daripada 'Myvi Conversion' dikenali sebagai emo-1 yang akan menjadi asas kepada pembuat kereta kompak itu membangunkan teknologi elektrik.

Prototaip EV itu terdiri daripada tiga komponen utama iaitu bangku pengujian kuasa (power bench), rangkaian penggerak kuasa (power converter) dan rekaan keseluruhan rangkanya yang dibuat di Malaysia, manakala pembangunan teknologi penukaran kuasa dilakukan dengan syarikat yang berpangkalan di Australia.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA, Datuk Sri Zainal Abidin Ahmad, berkata proses pembangunan bangku pengujian kuasa ini dibuat dengan kerjasama dari tiga universiti tempatan iaitu Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Universiti Kuala Lumpur dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Katanya, kerjasama yang bermula sejak September 2022 itu bertujuan untuk memahami sepenuhnya teknologi yang digunakan dengan menyaksikan PERODUA dan ketiga-tiga universiti terbabit bekerjasama untuk membangunkan rangkaian penggerak kuasa EV dari peringkat asas.

Jelasnya, harga kenderaan EV keluarannya dijangka tidak akan melebihi RM100,000 dan tidak akan kurang daripada RM50,000.

 

Berita Harian

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menurut hantaran Facebook beliau, lawatan ke kilang Daihatsu itu bertujuan untuk melihat kilang…