Memetik laporan Net Car Show, A-Class generasi keempat (kod badan: W177) itu disediakan dengan tiga varian untuk dipilih pengguna seperti A200, A180 dan A250.
Didedahkan di Pameran Automotif Antarabangsa Geneva, hatchback baharu yang dihasilkan di atas platform MFA (Modular Front-drive Architecture) itu dilihat memiliki pakej reka bentuk, penggayaan agresif dan teknologi terkini.
Roda kereta yang tergolong dalam segmen C itu digerakkan nadi enjin Renault 1.4L untuk varian A200, 1.5L (A180) dan 2.0L (A250) sambil dibantu kotak transmisi tujuh kelajuan, 7G-DCT.
Bukan itu sahaja, varian A-Class baharu berkenaan turut dilengkapi sistem pengecas turbo. Menarik bukan?
Ingin ditegaskan bahawa masing-masing menggunakan petrol bagi varian A200 dan A250 sementara A180 pula diesel.
Antara ciri menarik lain yang boleh dijumpai pada varian baharu ini ialah suspensi McPherson, sistem Active Distance Assist DISTRONIC dengan Active Steering Assist (merangkumi Active Emergency Stop Assist, Active Lane Change Assist dan Active Speed Limit Assist) selain turut didatangkan dengan fungsi standard brek adaptif.