Hakim dalam perbicaraan terhadap tiga warga Russia dan seorang Ukraine atas bencana yang mengorbankan 298 orang di dalam pesawat Malaysia Airlines mula secara rasmi mengemukakan bukti minggu ini.
Fragmen yang dianalisis di tempat kejadian 'sesuai dengan peluru berpandu BUK' dan siasatan menunjukkan bahawa 'tidak ada kesimpulan lain yang mungkin', kata ketua hakim, Hendrik Steenhuis.
Hakim juga menunjukkan sebuah video yang menunjukkan kepulan asap putih naik ke langit dari sebuah padang berhampiran Pervomaiskyi di timur Ukraine pada ketika pesawat Boeing 777 itu jatuh.
Seorang saksi menyatakan mereka telah melihat peluru berpandu 'terbang selama 20 saat sebelum meletup di sebelah kokpit kapal terbang', kata hakim.
Pesawat itu dalam perjalanan dari lapangan terbang Schiphol Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika ia terhempas di bahagian timur Ukraine yang dikuasai oleh pemberontak pro-Russia.
Siasatan antarabangsa sebelum ini menyimpulkan bahawa peluru berpandu BUK yang awalnya berasal dari Briged Peluru berpandu Anti-Pesawat ke-53 tentera Russia yang berpusat di bandar Kursk sebagai punca kemalangan.
Peguambela dan pegawai Russia berusaha untuk mempertikaikan bahawa ada kemungkinan lain termasuk bahawa pesawat itu ditembak jatuh oleh jet pejuang yang dikendalikan oleh Ukraine.
Keempat-empat suspek dituduh sebagai watak utama dalam kalangan pemberontak pemisah yang memerangi Kiev.
Hakim kelmarin menyatakan, mahkamah minggu ini akan melihat bukti yang menjurus tiga persoalan utama: adakah pesawat itu ditembak jatuh oleh BUK; lokasi peluru berpandu itu ditembak; dan peranan keempat-empat suspek dalam nahas itu. - AFP
Sumber: Berita Harian