PDRM cadang seragamkan nombor pendaftaran, lengkap dengan cip keselamatan

oleh Mohamad Hanif|
Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencadangkan supaya semua kenderaan di negara ini diseragamkan dengan 'e-plate' atau nombor pendaftaran standard dilengkapi cip keselamatan sebagai langkah untuk pencegahan jenayah.

MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata perkara itu antara dicadangkan jabatannya kepada kerajaan dalam menyaingi perubahan teknologi dan menghadapi trend jenayah semakin sofistikated.

"Sudah tiba masa negara kita menggunakan nombor pendaftaran standard dilengkapi cip keselamatan atau e-plate yang mana ia sudah lama digunakan di negara maju selain di Singapura dan Thailand.

"Kalau kita tengok, nombor pendaftaran standard tanpa cip keselamatan dipakai di Indonesia, Vietnam dan Laos tetapi kita masih menggunakan nombor pendaftaran yang cacamarba, termasuk nombor pendaftaran 'fancy' dan sebagainya.

"Sekiranya penggunaan nombor pendaftaran diseragamkan, ia dapat mencegah jenayah. Sukar untuk individu atau penjenayah membuat nombor pendaftaran palsu dan sebagainya kerana ia diselaraskan dan hanya satu badan atau jabatan membuat nombor pendaftaran.

"Disamping itu, ia akan meningkatkan kecekapan dan mengurangkan ketidakpatuhan pengguna jalan raya, termasuk tidak mematuhi lampu isyarat," katanya dalam program Ruang bicara PDRM terbitan Bernama TV bertajuk 'Trend Jenayah Semasa Penularan Pandemik COVID-19', malam ini.

Mengulas lanjut, Huzir berkata, penggunaan e-plate boleh membantu JSJ menangani kes kecurian kenderaan yang mana jenayah itu penyumbang tertinggi kepada kes jenayah di negara ini.

Katanya, cadangan itu diusulkan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kementerian Pengangkutan untuk dipertimbangkan.

Dalam pada itu, Huzir berkata, bagi usaha pencegahan jenayah, pihaknya mencadangkan penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) mempunyai teknologi kecerdasan buatan (AI).

"Pihak JSJ mencadangkan membangunkan teknologi pemantauan menggunakan CCTV secara 'masa sebenar' dengan AI di lokasi strategik contohnya, di lapangan terbang, pintu masuk sempadan dan kawasan tumpuan.

"Ini kerana kita ada data penjenayah dan CCTV yang mempunyai AI boleh tumpu dan fokus siapa yang melintasi kamera berkenaan untuk memberi amaran penjenayah dikehendaki," katanya.

Katanya lagi, teknologi itu dapat membantu polis mengesan penjenayah dikehendaki, mengesan kejadian jenayah, mengesan pelaku jenayah dan mengesan kenderaan penjenayah serta memberi amaran awal kepada petugas di lapangan secara 'real time'.

"Ia terbukti dalam mencegah, mengesan dan menangani jenayah. Ia wajar dan sudah sampai masanya kita menggunakan teknologi sedemikian, banyak digunakan negara maju termasuk United Kingdom (UK) dan China.

"Satu kes contoh CCTV yang membantu adalah dalam kes seorang pendakwa raya dibunuh, petunjuk pertama yang ditemui adalah menerusi rakaman CCTV," katanya.

Sumber: Berita Harian

Berita Berkenaan

Informasi
"Empat skuter elektrik diserahkan untuk kegunaan pasukan keselamatan di KLIA Terminal 1 dan 2,…
Berita Domestik
"Menyusahkan oranglah engkau ni. Sebab kau bodoh la kau kerja tol. Buka! Buka! Kalau pandai kau tak…
Informasi
Menurutnya, hasil siasatan mendapati lelaki terbabit mempunyai masalah kesihatan dan tidak lagi…