Dengan deruman daripada enjin 4.8 liter V10 1LR-GUE yang ala-ala F1 daripada Yamaha, ia sememangnya sebuah masterpiece terbaik yang pernah dihasilkan oleh Toyota, sehinggakan Jeremy Clarkson pernah menyebut Lexus LF-A merupakan kereta terbaik pernah beliau pandu.
Dengan unit terhad yang dihasilkan di seluruh dunia sebanyak 500 buah sahaja tidak seperti Perodua Myvi, sudah tentu proses menyelenggara sports car ini menjadi semakin kompleks dan tidak ramai orang pakar yang arif untuk memeriksa kereta ini.
Mujur Lexus UK mempunyai unit fasiliti penyenggaraan Lexus LF-A yang tersendiri di LF-A Center of Excellence Eropah, bertempat di Toyota Motorsport GmbH, Cologne, Germany bagi memeriksa dan menyenggara setiap Lexus LF-A yang terdapat di Eropah.
Menurut Pengurus Bengkel Lexus Peter Dresen berkata, memandangkan natural Lexus LF-A lebih ke arah sebuah sports car, mereka 'melayan' setiap Lexus LF-A seperti sebuah kereta lumba Le Mans, bukan sebuah kereta Lexus yang biasa disebabkan terdapat beberapa perkara yang agak rumit untuk diakses dan dinilai.
Tambah beliau, proses menyenggara Lexus LFA dimulakan dengan membuka hampir kesemua panel yang melindungi komponen penting seperti sistem gantungan, sistem stereng, serta subframe.
Kesemua nat dan bolt diperiksa dan dinilai satu persatu, manakala sistem hidraulik yang sukar untuk diperiksa akan dinilai melalui ujian fizikal dan visual.
Sistem brek termasuklah cakera brek dan pad brek akan dibuka satu persatu untuk diperiksa sekiranya terdapat sebarang rekahan kecil pada material karbon seramik brek tersebut.
Berat cakera juga turut diperiksa dengan teliti supaya ia menepati piawaian spesifik had yang dibenarkan, termasuklah menggunakan mesin x-ray bagi memeriksa keadaan cakera dan pad brek.
Manakala kerja-kerja biasa yang dilakukan seperti penukaran minyak enjin, bendalir transmisi, minyak brek, penapis minyak, dan sebagainya dilakukan menggunakan peralatan berteknologi tinggi.
Lexus LFA sebagaimana yang kita semua maklum menggunakan hampir 65% bahan carbon fibre-reinforced polymer (CFRP) yang mana ia juga akan diambil kira oleh Lexus UK di dalam proses penyenggaraan di fasiliti tersebut.
Proses servis keseluruhan sebuah Lexus LFA mengambil masa kira-kira empat hari untuk disiapkan termasuklah tiga sesi pandu uji yang dibuat di fasiliti tersebut, jalan raya umum serta pandu uji khas di lebuhraya Autobahn sepanjang enam batu.
Lihat betapa sukar dan rumitnya proses servis sebuah Lexus LFA bagi memastikan ia berada di dalam kondisi yang sangat cemerlang untuk beraksi di dalam litar, ataupun jalan biasa.
Sumber: Motor1