Pandu uji smart #1 Premium dari KL-Pulau Pinang

oleh Mohamad Hanif|
smart bukanlah satu jenama baharu, ia telah pun wujud sejak dari tahun 1994 dengan barisan model urban yang kompak dan comel.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Di Malaysia, pengedaran dan penjualan kereta elektrik smart dikendalikan oleh Pro-Net, sebuah anak syarikat Proton dan telah pun melancarkan model pertama mereka, iaitu smart #1 (disebut sebagai hashtag One) pada tahun lepas.

Baru-baru ini, pihak Pro-Net telah menganjurkan sesi pandu uji selama dua hari untuk memperlihatkan keupayaan sebenar crossover elektrik tersebut.
 

smart


Sesi dimulakan di litar go-kart Pinnacle Kart USJ yang agak sempit, di mana setiap pengamal media diberikan peluang untuk merasai pecutan, pengendalian di selekoh, penukaran lorong secara tiba-tiba diikuti dengan ujian slalom.

Kami juga turut diberikan peluang untuk menguji ciri bantuan parkir automatik (ABA) yang boleh berfungsi tanpa bantuan dan input pemandu.

Canggih, namun kami rasakan adalah lebih baik jika anda asah kembali kemahiran meletakkan kereta menggunakan cara yang biasa kita guna di sekolah memandu.

smart Malaysia turut mengadakan demonstrasi ciri Evasive Maneuver Assist (EMA) yang dapat membantu smart #1 ini mengelakkan halangan di hadapan dengan lebih selamat.
 

smart


Sesi pemanduan sebenar bermula selepas menjamu selera di tengah hari, di mana kami diberikan tugasan untuk memandu secekap mungkin dari Subang Jaya menghala ke Teluk Bahang, Pulau Pinang.

Untuk hari pertama, penulis mengambil peluang untuk merasai sendiri kualiti pemanduan smart #1 varian Premium dan berdasarkan pengalaman mengendalikan #1 ini di sepanjang lebuh raya, penulis berpuas hati dengan respons stereng serta talaan yang diberikan pada suspensi standard.

Input dan maklum balas roda stereng yang mencukupi, pemanduan rasa lebih stabil di atas lebuh raya, dan yang paling penting keselesaan yang ditawarkan.
 

smart


Perkakasan pemanduan yang dibekalkan pada crossover elektrik ini juga amat mudah untuk digunakan, malah operasinya juga persis kenderaan jenama Mercedes-Benz dengan tuil penukaran 'gear' di sebelah kanan, dan tuil lampu isyarat membelok/penyeka kaca/lampu suluhan tinggi di bahagian kiri.

Kemasan bahan yang digunakan pada roda stereng juga tampak premium, cuma penulis tidak gemar dengan penggunaan warna cerah dua tona pada bahagian papan pemuka.

Apabila perjalanan mula memasuki jam ketiga, penulis mula rasa tidak selesa, ini kerana tempat duduk yang dibekalkan itu tidak cukup panjang untuk menyokong bahagian bawah peha.

Mungkin smart #1 ini lebih sesuai digunakan untuk pemanduan rentas bandar di sekitar Lembah Klang.
 

smart


Kuasa daripada motor elektrik 268 hp dan 343 Nm yang memacu roda belakang juga turut dihamburkan dengan baik, dan sekali-sekala boleh dikerah untuk memotong kereta dan lori yang perlahan di hadapan.

Walaupun ada kalanya pedal pendikit ditekan rapat, tayar belakang tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda tidak mencengkam jalan, tidak seperti sebuah crossover elektrik yang pernah penulis cuba sebelum ini.

Secara standard, pek bateri 66 kWh itu membenarkan jarak gerak sejauh 440 km, namun kesan daripada aktiviti yang dijalankan pagi tersebut, kami memulakan perjalanan dengan kapasiti bateri sekitar 87 peratus, atau jarak sekitar 304 km.

Jarak tersebut mungkin sukar dicapai untuk kapasiti bateri yang tersisa, dan ia mungkin akan meningkatkan lagi perasaan kebimbangan jarak di sanubari.

Namun kesan daripada pemanduan berhemah yang dibuat (termasuklah mengekor perlahan di belakang lori), kami berjaya 'meningkatkan' jarak pemanduan smart #1 Premium ini sehingga cukup-cukup untuk sampai ke destinasi.
 

smart


Tidak lengkap pemanduan kereta elektrik tanpa merasai sendiri pengalaman mengecas di fasiliti yang disediakan di sepanjang laluan Lebuhraya Utara Selatan.

Disebabkan tiada keperluan untuk kami mengecas bateri sehingga penuh, kami sekadar berhenti rehat di Hentian Rehat Bukit Gantang, dengan kapasiti bateri pada ketika itu adalah sekitar 28 peratus.
 

smart


Pengecas DC 50 kW itu mengenakan kos sebanyak RM1.27/minit, dan selepas 10 minit pengecasan, kami sedia bergerak ke destinasi tujuan dengan kapasiti bateri naik kepada 40 peratus.

Urusan pemanduan ternyata dipermudahkan lagi dengan kehadiran aplikasi mudah alih Hello smart App yang menyediakan akses kepada hampir 70 peratus fasiliti pengecasan di seluruh negara.

Jadi, anda tidak perlu untuk memuat turun pelbagai jenis aplikasi yang boleh 'memberatkan' memori peranti pintar, sebaliknya hanya perlu bergantung kepada satu aplikasi sahaja. Mudah bukan?
 

smart


Seperkara lagi, smart #1 juga turut menyediakan paparan peta yang menunjukkan sejauh mana anda boleh pandu kereta elektrik ini, dan kapasiti bateri yang tersisa setelah tiba di destinasi.

Sistem pemetaan dan navigasi yang dimuatkan pada sistem infotainmen itu juga membolehkan anda menetapkan stesen pengecasan sebagai destinasi persinggahan sementara untuk memastikan kuasa bateri yang mencukupi untuk mengurangkan kesan kebimbangan jarak.
 

smart


Perjalanan kami diteruskan ke arah utara dalam keadaan cuaca hujan sepanjang jalan, dan selepas pemanduan selama 6 jam 30 minit, kami tiba di destinasi tepat jam 6.23 petang dengan kapasiti bateri tinggal 14 peratus dan jarak sekitar 54 km.

14.0 kWh/100 km, itu merupakan data yang kami peroleh daripada meter kluster smart #1 yang kecil itu, dan angka itu melayakkan kami menjadi juara pemanduan paling cekap tenaga dalam kategori smart #1 Premium.

Kedengaran positif bukan?
 

smart


Penulis bersyukur kerana urusan kami sepanjang sesi pandu uji crossover elektrik itu banyak dipermudahkan, dan tidak berdepan dengan masalah.

Ini kerana ada rakan media yang mengadu mereka sukar untuk mengecas kereta smart #1 akibat masalah teknikal membabitkan fasiliti pengecasan, sehinggakan mereka terpaksa bergerak ke stesen berikutnya dalam keadaan kapasiti bateri yang mungkin cukup-cukup makan.
 

smart


Ada juga pihak yang terpaksa menunggu giliran untuk mengecas kereta mereka disebabkan lokasi tersebut tidak menyediakan palam pengecas yang mencukupi.

Di Caltex Bukit Gantang misalnya, hanya ada satu slot parkir yang disediakan untuk pengecasan EV, dan kalau tidak bernasib baik kami mungkin terpaksa menunggu giliran sekiranya terdapat kereta elektrik lain yang sedang menggunakan fasiliti tersebut.

smart #1 versi Premium ini dijual pada harga bermula dari RM219,000.

 

Spesifikasi ringkas smart #1 Premium

s


• Motor elektrik tunggal, pacuan roda belakang
• 268 hp, 343 Nm
• 0-100 km/j 6.7 saat
• Kelajuan maksimum 180 km/j
• Mod pemanduan Eco/Comfort/Sport
• Pengecasan AC 22 kW atau DC 150 kW
• Rim aloi 19 inci
• Pek bateri NCM 66 kWh
• Jarak gerak 440 km (WLTP)

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
smart #1 telah mengukuhkan kedudukannya di kedudukan ke-3 dalam kategori SUV EV untuk harga kereta…
Informasi
smart #1 adalah model pertama yang dijual oleh PRO-NET dan dibina di atas Seni Bina Elektrik…
Informasi
Malah pembayaran juga perlu dilengkapkan menerusi aplikasi Hello Smart App, dan bukan menggunakan…