Pandu Uji: JMC Vigus Pro - trak pikap bawah RM100k, berbaloi?

oleh Mohamad Hanif|
Pasaran trak pikap di Malaysia sangat meriah sebenarnya. Rambang mata jika anda benar-benar tidak tahu nak pilih mana yang sesuai dengan jiwa dan keperluan hidup.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Anda boleh dapatkan trak pikap 'berperisa' Jepun - Toyota Hilux, Isuzu D-Max, Mazda BT-50, Mitsubishi Triton dan Nissan Navara.

Ataupun trak pikap Blue Oval - Ford Ranger yang kini sudah masuk generasi baharu yang lebih moden itu.

Jika anda mahu lari dari kebiasaan, Tan Chong Group menerusi syarikat subsidiarinya Angka-Tan Motor (ATM) membawakan pendatang baharu - JMC Vigus Pro.

 

JMC, bukan GMC


Sebelum anda melenting, JMC bukanlah sama dengan jenama GMC yang sangat terkenal itu, ia sebenarnya merujuk kepada singkatan Jiangling Motors Co, salah sebuah syarikat kenderaan komersial terbesar di China.

Penulis sempat menguji trak pikap ini untuk tempoh beberapa hari, dan berikut merupakan ulasan ringkas yang sempat kami catatkan.

 

1. Hamburan kuasa yang sangat lancar


JMC Vigus Pro didatangkan dengan enjin diesel 2.0 liter turbo yang disumberkan daripada Ford.

Ya, selain daripada Ford Ranger yang ada dijual di sini, trak ini juga menggunakan nadi Ford!

Ia mampu menjana kuasa 141 PS @ 3,600 rpm dan daya kilas 340 Nm @ 1,500-2,600 rpm.
 

JMC


Dengan padanan transmisi automatik ZF lapan nisbah kelajuan, anda akan dapati pemanduan awal trak ini sangat lancar, tanpa ada senggukan atau sentakan penukaran gear yang dapat dirasakan.

Untuk pemanduan seharian, gandingan enjin dan transmisi ini sudah cukup responsif dan memadai.

Penulis tidak sempat untuk menghabiskan setangki penuh bahan api trak pikap ini disebabkan kesuntukan masa.

Namun menurut JMC, kadar penggunaan bahan api adalah yang terbaik di dalam kelasnya, iaitu sekitar 7.8 liter untuk setiap 100 km.

 

2. Tidak sesuai untuk mereka yang pentingkan pengendalian mantap


Sayang sekali, kelebihan yang ada pada trenkuasa itu tidak diseimbangkan dengan tahap pengendalian yang memuaskan.

Sukar untuk penulis merasai maklum balas yang dihantar daripada roda terus ke stereng sepanjang tempoh pemanduan dibuat.

Jika anda seorang yang mementingkan tahap pengendalian yang baik, trak ini bukan untuk anda.
 

JMC


Namun, apa yang penulis boleh puji adalah tahap sistem suspensi bekerja yang di atas jalan raya Malaysia yang tercinta ini. Walaupun ia sebuah trak pikap.

Atas lebuh raya dengan kualiti jalan yang baik, trak ini mampu menawarkan pemanduan yang selesa. Cuma hati-hati bila berjumpa dengan bonggol atau lubang jalan.

 

3. Rupa paras yang agak kacak untuk trak buatan China


Berbanding pesaing yang ada di pasaran, JMC Vigus Pro memiliki penampilan yang agak 'katang' dengan arka roda yang bersegi, rekaan jeriji hadapan yang besar serta unit lampu belakang yang mengingatkan penulis pada model GMC.

Satu kebetulan. Mungkin.
 

JMC


Cuma, ia tidak didatangkan dengan teknologi yang sudah menjadi satu kelaziman masa kini seperti lampu utama LED, malah lampu belakang masih lagi menggunakan teknologi mentol.

Rekaan rim 16 inci itu nampak sangat kecil pada pandangan mata, mungkin perlukan tayar yang lebih lebar sudah cukup untuk menjadikan trak ini nampak gagak sedikit atas jalan.
 

JMC


Rekaan bed belakang pula mempunyai dimensi yang agak kecil berbanding pesaing, namun JMC ada memasang beberapa cagak untuk memastikan barangan kerja anda diikat dengan sempurna di belakang.

 

4. Rekaan tempat duduk yang tidak ergonomik langsung

kerusi pendek sangat ni bang!


Masuk ke dalam ruang kabin, tempat duduk JMC Vigus Pro ini sebenarnya mengingatkan penulis kepada sebuah kereta hatchback yang sangat popular di pasaran tempatan.

Penulis berpendapat, kemungkinan besar pereka asal trak pikap ini bukan seorang yang pentingkan tahap pemanduan yang selesa dan ergonomik.
 

JMC


Sudahlah tempat duduk tidak didatangkan dengan larasan ketinggian, dimensi kusyen pula agak pendek dan menjadikan kaki tergantung - jadi untuk perjalanan jauh pemandu memang akan mudah terasa penat.

Urusan keluar masuk juga agak sukar, kerana pada tiang A tidak disediakan langsung tempat untuk tangan berpaut.

 

5. Kedekut ruang letak barang


Untuk sebuah trak pikap yang dikhususkan dan ditugaskan untuk menjadi kuda kerja, JMC Vigus Pro ini nyata menambahkan lagi tahap kekecewaan penulis.

Tidak banyak ruang untuk meletakkan barangan yang disediakan, malah tempat meletak cawan juga hanya ada satu sahaja pada konsol tengah yang lebar itu.
 

JMC


Ruang storan di bawah tempat rehat lengan juga agak cetek, jadi tidak banyak barang yang boleh dimuatkan.

Penulis lagi gemar jika tombol gear yang diambil daripada model Peugeot itu digantikan dengan tombol gear konvensional, supaya lebih mudah pemilik untuk meletak dan mencapai barangan yang diletakkan pada ruang depan tombol tersebut.

 

6. Tidak banyak ciri moden


Mungkin disebabkan harganya di bawah julat RM100 ribu, tidak banyak kelengkapan moden yang boleh dimuatkan.

Sebagai contoh, skrin paparan bersaiz lapan inci itu sangat asas tanpa kehadiran sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto, tahap ketajaman paparan juga amat lemah terutama ketika di bawah sinaran mentari terik, dan kualiti audio juga sedikit baik berbanding radio transistor Palito yang penulis gunakan sewaktu zaman sekolah dahulu kala.

Kelengkapan keselamatan juga amat asas - dua beg udara, ABS, EBD, ESP, bantuan mula mendaki dan kawalan menurun cerun disediakan.

 

Jadi, untuk siapa trak pikap ini sebenarnya?

JMC


Bagi penulis, JMC Vigus Pro ini merupakan satu pakej yang amat sesuai untuk digunakan oleh mereka yang mencari sebuah kuda kerja sebenar yang boleh dilenjan dengan nilai yang tidak terlalu mencederakan akaun bank anda.

Atau sesuai untuk golongan yang mahu mencari sebuah trak pikap tapi tidak langsung mementingkan penawaran teknologi atau keselesaan pemanduan seharian.
 

VIgus


Namun yang pasti, JMC Vigus Pro dengan harga jualan di Malaysia bermula dari RM98,888, menjadikannya salah satu trak pikap bertransmisi automatik yang murah dan mampu untuk dimiliki.

Yang penting, tepuk dada, tanyalah selera!

Berita Berkenaan

Berita Global
Menurut syarikat BYD juga, BYD Shark akan dijual secara global. Pada Ogos 2023, BYD mengumumkan…
Berita Domestik
Mengikut kedua-dua pertuduhan, bapa tiga anak itu didakwa memandu sebuah kenderaan pacuan empat…
Berita Global
Tahun ini, selain dari menjadi pentas persaingan antara jenama-jenama China yang mengusung model-…