Pandu Uji Honda Civic 1.5T RS 2022 - T untuk Terbaik!

oleh Mohamad Hanif|
Penulis tahu, ramai yang masih lagi belum boleh 'move on' daripada Civic ketam.
CHERY TIGGO 7 PRO Launch MREC Banner Campaign June 2024

Ia antara model kegemaran rakyat Malaysia untuk projek Type R jadi-jadian, malah ia juga antara kereta yang digeruni (sebab abang PDRM pun pakai!).
 

Civic


Namun, generasi kesepuluh sedan segmen C itu sebenarnya telah pun wujud sejak dari tahun 2015 lagi, dan memang sudah sampai masa ia perlu digantikan dengan model generasi baharu.

Generasi kesebelas telah pun selamat mendarat di Malaysia pada awal tahun lalu, diikuti dengan varian hibrid e:HEV RS yang dilancarkan pada bulan yang lalu.
 

FE


Bersempena dengan musim mengundi baru-baru ini, penulis diberi peluang untuk 'bercinta' dengan varian Civic RS (bukan hibrid).

Memandangkan kali ini kami sekeluarga perlu berjalan ke dua destinasi mengundi berlainan negeri, memandu Civic RS sebagai mod bergerak merupakan satu pilihan yang tepat.

Berbanding Civic ketam, penulis lebih menggemari aspek pemanduan yang ditawarkan oleh Civic baharu ini.
 

FE


Hamburan kuasa 182 hp dan 240 Nm daripada enjin 1.5 liter turbo, kotak gear CVT yang telah ditala semula, dan sistem gantungan yang solid -  kesemua aspek itu memberikan lebih keyakinan kepada penulis untuk memandu dengan lebih agresif terutama apabila tayar menjejak jalan-jalan dalam.

Selain itu, respons stereng juga adalah secukup rasa, di mana sepanjang masa ia berkomunikasi dengan pemandu dalam menterjemahkan apa jua keadaan jalan.
 

FE


Setiap kali Civic ini bertemu dengan selekoh, senyuman pasti akan terukir di bibir, mengenangkan sedapnya pemanduan dengan olengan badan yang minimum walaupun ia adalah sebuah sedan empat pintu.

Senang cerita, anda tidak memerlukan talaan yang berlebihan untuk menikmati pemanduan Civic yang sporti, melainkan jika anda memang mahu menunggu ketibaan Civic Type R yang jauh lebih mengujakan itu.
 

FE


Satu rahsia yang mungkin tidak ramai yang tahu, Honda Malaysia sebenarnya melengkapkan Civic 2022 ini dengan balutan tayar Michelin Pilot Sport 4 sebagai ciri standard!

Tidak menghairankan apabila Civic ini bukan sahaja lebih stabil baik di atas lebuh raya atau di jalan dalam, malah ia juga menunjukkan prestasi cemerlang atas jalan yang basah.
 

FE


Kadar penggunaan bahan api purata adalah sekitar 7.2 liter untuk setiap 100 km, dengan setiap isian yang mampu membenarkan jarak pemanduan sehingga 500 km.

Almaklumlah, bila jumpa kereta sedap, kaki kanan memang tidak akan berdiam diri.

Respons brek juga tidak mengecewakan, banyak kali juga penulis perlu memperlahankan kereta akibat tindakan segelintir pengguna yang tidak bersekolah.
 

FE


Kadar kebisingan, gegaran dan kekasaran (NVH) Civic 2022 ini juga ternyata bertingkat-tingkat lebih baik jika dibandingkan dengan model terdahulu.

Seakan seperti penulis sedang memandu sebuah kereta conti, walhal ia sebenarnya sebuah sedan dengan nama Jepun (dan surat beranak dari Melaka).

Bunyi bising enjin dan ngauman CVT yang tipikal tidak langsung didengari dari dalam kabin, boleh dikatakan hampir sepanjang masa penulis langsung tidak terganggu dengan bunyi-bunyi luar.
 

FE


Untuk pengetahuan, Civic generasi kesebelas ini dibangun menggunakan prinsip Man Maximum/Machine Minimum.

Disebabkan itu, ia menggunakan pendekatan yang lebih ringkas dan minimalis, seperti apa yang anda lihat pada susun atur ruang kabin sedan ini.

Rekaan yang lebih kemas itu memberikan sudut penglihatan yang lebih luas, dan tidak begitu terganggu walaupun pada bahagian tengah itu menempatkan skrin infotainmen Display Audio bersaiz sembilan inci.
 

FE


Kedudukan cermin sisi juga telah dialihkan ke belakang bagi mengurangkan kesan titik buta pada bahagian tiang A, satu perkara yang penulis begitu benci pada Civic ketam.

Selain itu, rekaan tingkap sisi juga dibuat lebih besar, sekaligus menyumbang kepada sudut pandang keluar yang lebih luas.

Mungkin ada yang tertanya, adakah corong pendingin hawa memiliki bukaan yang besar dan mampu membekukan penumpang hadapan.
 

FE


Jawapannya, tidak. Struktur jeriji sarang lebah itu sengaja direka sedemikian untuk mewujudkan ilusi pandangan.

Sistem pendingin hawa Civic ini amat mudah untuk digunakan, terima kasih kepada kewujudan tombol larasan fizikal tanpa terlalu bergantung kepada butang fungsi.

Faktor rasa premium ditambah lagi dengan penggunaan kemasan yang elegan tanpa berlebihan, serta tidak ketinggalan balutan upholsteri pada tempat duduk.
 

FE


Kekurangannya, pemandu (dan penumpang hadapan) akan rasa sedikit penat selepas beberapa ketika, mungkin disebabkan bentuknya yang rasa agak rata untuk punggung walaupun kerusi tersebut menyokong penuh bahagian bawah peha.

Beralih kepada skrin infotainmen, penulis tidak langsung mempunyai sebarang rungutan memandangkan ia direka untuk memudahkan urusan seharian.
 

FE


Susun atur fungsi dengan logo besar yang amat mudah dibaca, sistem audio yang boleh tahan sedap juga, serta sokongan wajib kepada peranti pintar masa kini (Apple CarPlay dan Android Auto).

Pengguna tegar aplikasi navigasi (Waze) dan pemain lagu (Youtube Music) pastinya akan menghargai fungsi sambungan yang disebutkan tadi. Sambil dengar lagu, boleh pantau sekali kehadiran pak polis yang bersembunyi di sebalik tiang lebuh raya.
 

FE


Jadi, adakah Civic generasi ke-11 ini satu pilihan yang terbaik?

Jika dibandingkan sebelah menyebelah dengan Civic FC, Civic FE ini membawakan pakej rupa yang elegan, pengendalian yang sporti, NVH yang jauh lebih baik, dan yang paling penting selesa untuk seisi keluarga.
 

FE


Dengan padanan enjin 1.5 liter VTEC Turbo, Civic RS merupakan antara sedan yang berkuasa di dalam segmennya.

Bagi penulis pula, Civic RS 2022 ini walaupun tergolong di dalam sedan segmen C, ia sebenarnya jauh lebih baik jika dibandingkan dengan abang besarnya Honda Accord stapler (Accord gen-10).

Berita Berkenaan

Telah Diuji
Untuk segmen ini, pilihan yang ada: Honda Civic Toyota Corolla Mazda3 Hyundai Elantra Honda…