Pandu Uji Honda Civic RS 2022 - sila lupakan Civic ketam!

oleh Mohamad Hanif|
Semenjak Proton Preve dikeluarkan daripada laman web rasmi Proton, pasaran sedan segmen C pasaran Malaysia kini tertumpu kepada model-model dari negara Jepun dan penyertaan tunggal daripada negara Korea.

Untuk segmen ini, pilihan yang ada:

  • Honda Civic
  • Toyota Corolla
  • Mazda3
  • Hyundai Elantra

Honda Civic, tidak dapat dinafikan lagi tahap popularitinya di pasaran Malaysia, bukan sahaja disebabkan oleh lencana H, akan tetapi prestasi yang ditawarkan sejak ia dilengkapi dengan enjin 1.5 liter turbo.

Kini, generasi baharu Honda Civic telah pun rasmi dilancarkan beberapa bulan yang lalu, dan Careta berpeluang untuk menguji sendiri pemanduan sedan ini dari Subang menghala ke Pulau Pinang.

Berikut merupakan input berkenaan sesi pandu uji ringkas kali ini:

 

1. Rupa paras lebih elegan


Berbanding dengan Civic FC dengan imej ketam, Civic FE kali ini ternyata membawakan imej yang jauh lebih ringkas, dan lebih elegan.

Ini kerana pembangunan Civic generasi baharu ini membawakan falsafah Man Maximum/Machine Minimum, di mana ia tidak lagi membawakan elemen yang berlebih-lebihan, namun masih lagi kekal sebagai sebuah sedan yang premium penampilannya.

Dari segi dimensi, panjang Civic FE telah bertambah sebanyak 33 mm, diikuti dengan jarak antara roda juga bertambah sebanyak 36 mm.

Penambahan dimensi tersebut diseimbangkan dengan perubahan cermin hadapan yang dianjak ke belakang sebanyak 2 inci bagi memberikan ilusi bonet depan yang lebih panjang, dan perkadaran sedan yang lebih klasik.

Orang mungkin akan mengatakan Civic baharu dah jadi kereta bapak-bapak, namun penulis amat gemar dengan reka bentuk Civic kali ini.

Mungkin sekali faktor usia. Mungkin.

 

2. Ruang kabin - lebih minimalis, lebih luas


Salah satu tarikan yang membuatkan penulis teruja dengan Civic FE adalah susun atur kabin yang kini lebih ringkas, dan lebih minimalis.

Ini adalah bertepatan dengan konsep Man Maximum/Machine Minimum di mana reka bentuk papan pemuka yang lebih kemas, dan memberikan medan penglihatan yang lebih luas, biarpun dengan kehadiran skrin infotainmen tengah bersaiz sembilan inci.
 

Covicx


Jika anda perhatikan perbandingan bahagian sisi Civic FE dengan Civic FC, jelas sekali Civic baharu ini mempunyai rekaan tingkap yang jauh lebih besar, memberikan sudut pandang keluar yang lebih luas.

Kemasan dan penggunaan bahan di dalam kabin juga cukup menyenangkan mata, selain tampak premium juga!
 

Civic


Sekali imbas, anda mungkin akan tertanya-tanya di manakah posisi corong pendingin hawa yang sebenar, disebabkan ia terlindung di sebalik jeriji sarang lebah dan apa yang terbonjol hanyalah tombol pelaras arah tiupan angin.

Selain itu, apa yang penulis gemar pada Civic FE ini adalah kedudukan cermin sisi yang telah dialihkan sedikit ke belakang bagi mengurangkan kesan titik buta dari sudut pandang seorang pemandu.

Ini kerana pada model Civic FC terdahulu, penulis amat tidak menggemari posisi cermin sisi yang agak rapat dengan tiang A, sekaligus menyukarkan pandangan keluar dan memerhatikan apa yang ada disebalik komponen tersebut. 

Masalah ini lebih merumitkan terutama ketika hendak memasuki kawasan parkir pusat membeli belah, atau tanpa sengaja memasuki bandar Shah Alam Darul Bulatan demi mengelakkan kesesakan trafik.


3. Sistem infotainmen dengan ciri Apple CarPlay/Android Auto


Semenjak beralih kepada penggunaan peranti buah epal, penulis tidak lagi peduli dengan apa jua ciri-ciri yang disumbatkan pada kebanyakan sistem infotainmen kereta masa kini.

Pautkan sahaja peranti pintar pada sistem infotainmen kereta, dan anda boleh terus menggunakan aplikasi Waze, Google Maps, atau mendengar lagu menerusi Spotify atau Youtube Music tanpa masalah.

Sekali sekala beralih kepada peranti Android juga tidak mendatangkan masalah, kerana ia direka untuk memudahkan urusan pemandu ketika berada di atas jalan raya.

Cuma yang menjengkelkan adalah sistem Honda Civic ini masih lagi memerlukan sambungan wayar, membuatkan pemandangan dalam kabin sedikit serabut dek wayar yang berselirat.

Usah risau kerana ada kereta yang lagi mahal daripada Civic pun mempunyai masalah ini.

 

4. Pemanduan Civic - sila lupakan Civic ketam!


Ya, ini sebenarnya merupakan satu perkara yang tidak dijangka sendiri oleh penulis.

Ini kerana sebelum ini penulis amat tidak menggemari pemanduan sedan Civic FC (kecuali Civic Type R) disebabkan oleh respons stereng yang kurang memuaskan.

Tapi untuk Civic FE, penulis nyata amat berpuas hati dengan talaan stereng yang dibuat kembali oleh Honda, di mana ia kini lebih telus, respons yang cepat, dan dalam masa yang sama memberikan kita perasaan kestabilan terutama ketika menguasai lorong kanan lebuh raya.

Ataupun ketika menukar lorong pada kelajuan yang tinggi (dalam keadaan terkawal).
 

Civic


Selain daripada itu, Honda juga telah meningkatkan kuasa enjin 1.5 liter turbo kepada 182 PS/240 Nm, serta talaan semula kepada transmisi CVT bagi membolehkan pemanduan yang lebih dinamik dicapai.

Untuk pemanduan yang santai, tidak memberikan sebarang masalah, di mana transmisi itu akan memastikan pengedaran kuasa yang memadai tanpa memberikan bunyi bising, dan karakter itu akan turut berubah sekiranya anda bertukar menjadi seorang pemandu yang agresif.

Biarpun bertukar menjadi agresif, penulis tetap berasa selesa sepanjang memegang stereng. Ini kerana bunyi bising enjin (dan ngauman tipikal CVT) langsung hampir tidak kedengaran dari tempat duduk pemandu, di mana Honda berjaya 'menghalau' bunyi tersebut daripada menerjah masuk ruang kabin.
 

civic


Pengendalian mantap Civic turut dibuktikan ketika memasuki jalan dalam yang berliku, di mana ia tetap memberikan respons stereng yang mencukupi, serta talaan suspensi yang mampu bekerja dalam apa jua keadaan jalan, membuatkan penulis teruja setiap kali bertembung dengan selekoh di hadapan.

Pemanduan selama satu hari memang tidak mencukupi untuk penulis meneliti karakter Civic baharu ini, akan tetapi ia sudah cukup untuk membuatkan penulis kagum dengan penawaran terbaharu oleh Honda Malaysia ini.

 

5. Sedan segmen C, kualiti segmen D


Sesi pandu uji media kali ini, penulis mampu merasai tiga keadaan yang berbeza apabila berada di dalam Civic baharu.

Setelah selesai memandu dalam keadaan cuaca yang terik (puasa pulak tu), penulis menyerahkan tugas memandu kepada rakan media dan berehat di tempat duduk depan, sebelum beralih dan tidur di kerusi belakang.

Apa yang boleh penulis simpulkan, Honda Civic baharu ini menawarkan tempat duduk yang selesa dan ergonomik, dan tidak terasa penat biarpun membuat perjalanan merentas beberapa buah negeri ke arah utara.

Seperti yang dirasakan di tempat duduk pemandu, boleh dikatakan hampir tiada langsung bunyi operasi enjin dan CVT didengari dalam kabin, dan kurang juga bunyi bising angin menerjah masuk ketika pemanduan berkelajuan tinggi dibuat.

 

6. Ciri Honda SENSING standard - balik kampung dengan selamat


Selain daripada ciri keselamatan seperti enam beg udara, bantuan kestabilan kenderaan, bantuan mula mendaki, ABS dan sebagainya, Honda Malaysia berani memperkenalkan ciri keselamatan Honda SENSING secara standard untuk semua varian Civic.

Ciri tersebut merangkumi komponen seperti kawalan jelajah adaptif, sistem mengikut kenderaan (kelajuan rendah), sistem brek mitigasi pelanggaran, amaran pelanggaran depan, bantuan pengekalan lorong, sistem mitigasi keluar jalan, amaran keluar lorong, serta bantuan suluhan tinggi automatik.

Berdasarkan cubaan terhadap beberapa ciri yang disebutkan tadi, penulis dapati ia mampu berfungsi dengan baik dan diiringi dengan bunyi amaran yang boleh didengari menerusi pendengaran normal, bunyi yang tidak terlalu kuat sehingga mampu untuk mengejutkan penumpang yang tidur-tidur ayam KFC di sebelah.
 

civix


Jadi, berapa pula harga untuk pakej yang disebutkan di atas?

Honda Civic generasi kesebelas ini dijual pada harga bermula dari RM125,635 untuk versi E, sementara versi Civic RS yang penulis pandu uji kali ini cuma RM144,350 sahaja.

Bagi penulis, Honda Civic FE kali ini sudah mampu untuk berdiri sama tinggi dan menyaingi pesaing-pesaingnya seperti Toyota Corolla dan Mazda3.

Berita Berkenaan

Telah Diuji
Anda boleh dapatkan trak pikap 'berperisa' Jepun - Toyota Hilux, Isuzu D-Max, Mazda BT-50,…
Telah Diuji
Sebelum itu, pihak GWM telah menjemput Careta untuk merasai sendiri pengalaman pemanduan hatchback…
Telah Diuji
Varian yang dimaksudkan itu ialah Civic e:HEV, di mana ia kini dilengkapi dengan trenkuasa yang…