Jemputan dari Honda Malaysia yang kami terima untuk sesi pihak media melihat dan 'merasai' sendiri jentera City Hatchback, kami terima dengan penuh keterujaan.
Kami diperkenalkan kepada dua varian model City Hatchback, iaitu varian V dan RS. Apabila kami bertanya berapa varian yang akan diperkenalkan, Honda Malaysia cuma berkata nantikan pengumuman pada hari perasmiannya.
Sekilas pandang...
Sudah pasti ia kelihatan seperti 'abang'nya iaitu Honda City sedan. Cuma dari segi saiz, ia dipendekkan sedikit, iaitu 4,345mm berbanding City sedan iaitu 4,553mm tetapi lebar (1,748mm) dan ketinggian (1,488mm) adalah sama.
Reka bentuk wajah hadapan Honda City Hatchback ini kelihatan garang dan terkini seperti Honda City Sedan generasi ketujuh selaras dengan reka bentuk generasi baharu Honda yang lebih sporti.
Bagi model City Hatchback RS e:HEV ini ia dilengkapkan dengan kemasan yang lebih eksklusif dan kelihatan 'lincah' seperti:
• gril depan hitam piano berkilat
• cermin sisi hitam berkilat
• kemasan gril bawah
• kemasan lampu kabus yang 'bersirip'
• bampar belakang sporti
• diffuser
Selain itu, Honda City Hatchback RS kini menggunakan lampu utama, lampu belakang, lampu kabus dari jenis LED.
Dari segi kuasa dan prestasi, varian tertinggi City Hatchback RS e:HEV bagi pasaran Malaysia menggunakan unit rangkaian kuasa hibrid i-MMD yang sama seperti versi Honda City RS Sedan.
Sistem hibrid i-MMD ini memberikan kuasa enjin dua motor elektrik yang menjana sebanyak 109 PS dan 253 Nm daya kilas.
Antara kelebihan yang ada pada Honda City Hatchback RS generasi ini, ia dilengkapkan dengan Honda Lanewatch dan Honda SENSING yang merangkumi ciri seperti:
• Kawalan Pemanduan Adaptif (ACC)
• Sistem Brek Mitigasi Pelanggaran (CMBS)
• Sistem Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW)
• Sistem Bantuan Kekal Laluan (LKAS)
• Sistem Mitigasi Keluar Laluan (RDM)
• Amaran Keluar Laluan (LDW)
• Lampu Suluhan Tinggi Automatik (AHB)
Pemanduan:
Untuk sesi pemanduan, kami telah menguji Honda City Hatchback RS e-HEV ini di trek Litar Antarabangsa Sepang.
Sesi pertama adalah slalom, di mana kami 'namakan' ia sebagai sesi 'geli-geli', untuk menguji kestabilan City RS semasa mengambil korner pada jarak yang dekat pada kelajuan 40 km/j.
Memandangkan bentuk City Hatchback ini tidak menjalar seperti sebuah sedan, 'senaman' ini amat mudah bagi City Hatchback ini! Di sini juga, kelebihan Hatchback ini terserlah, stereng yang amat mudah dikawal, tidak terlalu berat atau terlalu ringan dan anda dapat merasa setiap pergerakan roda hadapan dan belakang!
Dari senaman slalom, kami menyelusuri trek pada kelajuan tidak melebihi 110 km/j, setiap korner trek kami disarankan supaya memandu tidak melebihi 70 km/j dan menguji beberapa elemen keselamatan Honda Sensing seperti Kawalan Pemanduan Adaptif (ACC), Sistem Brek Mitigasi Pelanggaran (CMBS), Sistem Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW), Sistem Bantuan Kekal Laluan (LKAS), Sistem Mitigasi Keluar Laluan (RDM) dan Amaran Keluar Laluan (LDW).
Kesimpulan...
Dari sesi pandu uji tersebut, kesimpulannya di bawah ini:
- ruang kabin yang senyap; amat berbeza dari Honda Jazz yang kami pandu dahulu. Cuma apabila mendaki dan memijak pendikit hingga ke lantai, deruman enjin tetap kedengaran. Which is normal untuk sebuah kereta berenjin, melainkan anda menggunakan kereta elektrik!
- enjin lebih responsif dan tak lemau; City Hatchback RS e-HEV ini adalah hibrid yang baharu dan bukan lagi i-DCD, ia lebih agresif dan pantas bertindak, kerana daya kilasnya adalah 253 Nm.
- pemanduan yang lebih sporti; pada sesi pandu uji tersebut, kami turut diberikan sebuah Toyota Yaris sebagai berbandingan. Pada pendapat penulis, amat ketara perbezaannya dari segi bentuk, ride and handling serta kemasan kabin.
- Sekiranya kita mengambil City sedan RS e:HEV sebagai contoh, kami berpendapat anda akan mendapat penjimatan bahan api yang mengagumkan iaitu sekitar 3.77 liter bagi 100km! Ini pasti menguntungkan pemilik kenderaan ini kelak!
- Antara ciri Honda SENSING yang paling menarik adalah ACC atau Kawalan Pemanduan Adaptif yang berfungsi memperlahan dan meningkatkan kelajuan kereta mengikut pecutan kereta di hadapan.
Ciri ini amat memudahkan perjalanan anda terutama apabila memandu di lebuh raya kerana dengan 'kepintaran' sistem, anda tidak berasa letih memandu walaupun dalam tempoh yang lama!
- Varian RS e:HEV lebih terasa 'melekat' di atas jalan raya berbanding varian V, besar kemungkinan kerana terdapat bateri di bahagian bawah ruang boot.
- Seperti mana model Jazz dahulu, City Hatchback ini juga didatangkan dengan ciri ULTRA Seats, ini bermaksud terdapat empat konfigurasi tempat duduk iaitu Utility, Long, Tall dan Refresh menjanjikan ruang dalaman yang sangat fleksibel dan mengikut keperluan.
- Ruang kabin pula, City Hatchback RS ini hampir sama dengan abangnya City sedan. Dan terdapat corong pendingin hawa di barisan tempat duduk penumpang untuk model Hatchback RS ini.
- Untuk varian RS e-HEV ini, ia hadir dengan fungsi penghidup enjin dari jauh. Maksudnya, anda hanya menekan butang pada kunci, enjin akan dihidupkan tanpa perlu membuka pintu untuk mengaktifkan sistem pendingin hawa. Jadi, anda tidak akan kepanasan apabila masuk ke dalamnya nanti!
- Rim aloi 16 inci, sekiranya satu saiz lebih besar, Hatchback RS ini mungkin lebih menarik, tetapi perlu ingat, lebih besar rim tayar, ia lebih berat dan secara logiknya penggunaan bahan api akan sedikit sebanyak akan meningkat.
- Pada pandangan mata kami, corong ekzos di belakang kelihatan 'outdated' kerana ia ketara dan kurang menarik bentuknya. Pasti pembeli akan menukar 'tabung' yang lebih sedap mata memandang selepas memilikinya.
Pada pandangan kami, Honda Malaysia telah membuat keputusan yang bijak dengan memperkenalkan model City Hatchback ini kerana ia memberi alternatif kepada golongan eksekutif muda yang inginkan sebuah kereta sporti yang cukup lengkap tahap keselamatannya pada harga yang kami jangkakan lebih kurang sama seperti City sedan.
Bilakah pengumuman harga sebenar dan bilakah kami dapat berkongsi gambar di ruang dalam kabin City Hatchback ini? Sama-sama kita nantikan undangan dari Honda Malaysia. Adakah City Hatchback ini termasuk dalam senarai hajat anda?
Video sesi pandu uji tersebut di bawah: