Pandu Uji: BMW M3 Competition xDrive - Enam Perkara Menarik/Kurang Menarik

oleh Mohamad Hanif|
Malaysia merupakan antara lokasi yang sangat menguntungkan para peminat model berprestasi tinggi daripada pengeluar automotif Jerman, seperti BMW dan Mercedes-Benz.
AION MREC Banner Campaign May 2024

Ini kerana syarikat seperti BMW Group Malaysia tidak pernah lokek untuk membawakan barisan model-model M yang terkenal dengan prestasi dan rupa paras yang sangat agresif, serta tag harga yang berada di luar kemampuan orang kebanyakan.

Antaranya model seperti M2, M3, M4, dan M5. Cuma sayang sekali kebanyakan masa kami hanya dapat menguji prestasi jentera-jentera tersebut di dalam litar Sepang sahaja.
 

M3


Beberapa bulan lepas, kami berkesempatan untuk memandu uji sendiri BMW M3 Competition xDrive, sebuah sedan empat pintu berprestasi tinggi yang menduduki tangga teratas dalam keluarga 3 Series.

Bagaimana rasanya dapat memandu M3 yang serba agresif ini di atas jalan raya yang sebenar?

 

1. M3 yang sangat mudah untuk dipandu

m3


Untuk pasaran Malaysia, BMW Group membawa masuk varian Competition xDrive yang dilengkapi dengan enjin enam silinder sebaris 3.0 liter dan padanan transmisi automatik sahaja.

Secara standard, enjin itu berkuasa 503 hp dan 650 Nm, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.4 saat.

Standard untuk sebuah model M yang moden, ia kini dilengkapi dengan pelbagai ciri bantuan pemanduan, serta mod pemanduan yang boleh dipilih (4WD, 4WD Sport dan 2WD).
 

M3


Secara lalai (default), mod pacuan semua roda 4WD sudah lebih daripada memadai untuk kegunaan seharian, kadar cengkaman yang mudah dipercayai, dibantu pula dengan respons stereng yang sangat tepat mengikut arahan pemandu.

Untuk pemanduan merentas negeri dan jalan berbukit juga tidak mendatangkan sebarang masalah, ini kerana casis M3 telah ditala secukup rasa untuk pemanduan yang sporti di laluan-laluan yang sepatutnya.

Bagaimana pula dengan aspek keselesaaan? Baca poin nombor dua.

 

2. Selesa untuk pemanduan seharian, tapi...

M3


Penampilan ruang kabin M3 Competition xDrive ini sangat berlawanan dengan warna hijau di bahagian luar.

Ini kerana ia didatangkan dengan tema warna jingga yang sangat-sangat terang, polis roadblock pun boleh nampak dari jarak sebatu jauhnya.

Dari segi keselesaan, ia bukanlah satu kelemahan ketara buat M3 ini, kerana tempat duduk jenis bucket tersebut sebenarnya sangat selesa untuk pemanduan seharian.
 

M3


Susun atur papan pemuka M3 Competition ini juga tidak lari jauh berbanding model 3 Series standard, di mana butang-butang fungsinya mudah untuk dicapai.

Cuma penulis pada mulanya terkial-kial dengan cara tuil gear automatik itu berfungsi, di mana operasinya amat berbeza berbanding model 3 Series.

Terdapat dua butang merah M pada roda stereng yang boleh dikustom, cuma paparan meter kluster digital yang bersegi itu nampaknya sangat tidak kena dengan imej M3 Competition.
 

M3


Untuk aspek pemanduan seharian, talaan suspensi M3 Competition ini biarpun sedikit keras, tapi masih lagi mampu menawarkan keselesaan yang tersendiri.

Pilih sahaja mod Normal sepanjang masa, dan ubah kepada mod Sport untuk pemanduan yang lebih serius.

Cuma perlu berhati-hati bila berdepan dengan bonggol-bonggol dan lubang jalan raya yang tidak mengikut standard JKR.

Dengan pelbagai ciri bantuan pemanduan termasuklah pakej Parking Assist, memandu M3 Competition setiap hari bukanlah satu perkara yang menyusahkan, bahkan ia sebenarnya sebuah jentera M yang sangat mudah dipandu.

 

3. Rupa paras yang terlalu agresif

M3


Ketika BMW M3 Sedan (dan M4 Coupe) mula menerjah dunia beberapa tahun lepas, rekaan luaran bagi kedua-dua model ini ternyata mengundang kritikan keras daripada pelbagai pihak.

Rekaan jeriji buah pinggang gergasi itu memang menjadikan penampilan M3 Competition lebih garang di atas jalan raya, dibantu dengan rim bersaiz 19 inci depan dan 20 inci belakang.
 

M3


Sistem ekzos empat tip itu bukan sahaja menyalurkan sisa-sisa pembakaran ke atmosfera, ia juga membantu menghasilkan runut bunyi yang sangat mengujakan pemandu dan penumpang.

Rekaan di bahagian belakang adalah hampir sama dengan model 3 Series, cuma dibezakan dengan bampar yang lebih agresif, diikuti dengan kehadiran spoiler lip yang bertenggek di atas bonet belakang.

Sejujurnya, penulis bukanlah peminat tegar rekaan jeriji buah pinggang yang besar gedabak itu, cuma ia ternyata sangat sesuai dipadankan pada model M3 bagi membezakannya dengan model 3 Series lain (320i, 330i, 330e) yang lebih sopan dan elegan.

 

4. Tiada pilihan transmisi manual

M3


Sayang sekali, model M3 Competition tidak dibekalkan dengan pilihan transmisi manual, sebaliknya datang eksklusif dengan transmisi automatik lapan nisbah kelajuan sahaja.

Biarpun dengan hanya transmisi automatik, ia bukanlah satu perkara yang buruk untuk sebuah M3 Competition.

Ia masih lagi sebuah sedan pantas yang mudah untuk dipandu, selesa juga untuk kegunaan seharian.

Cuma barang harus diingat, ia sebuah M3 dengan kuasa 503 hp dan 650 Nm yang memerlukan skill dan kemahiran yang mencukupi, supaya anda tidak sewenang-wenangnya melanggar tembok dinding dan pembahagi jalan sewaktu memandu.

Almaklumlah, encik yang bernama malang itu jarang sekali berbau.

 

5. Sedan pantas yang praktikal

M3


Walaupun dipakejkan sebagai sebuah sedan pantas, ia masih lagi berupaya untuk memuatkan sehingga lima orang dewasa pada satu-satu masa.

Untuk kegunaan pemandu, skrin infohibur BMW M3 Competition ini turut didatangkan dengan fungsi sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto, sistem navigasi terbina, serta paparan khas informasi berkenaan prestasi semasa.
 

M3


Ruang kargo M3 Competition pula berupaya memuatkan barangan sehingga 480 liter, cukup besar untuk menempatkan beg-beg balik kampung atau barangan keperluan dapur.

Senang cerita, M3 Competition ini lebih praktikal berbanding model-model sports coupe yang mempunyai tanda harga bawah RM1 juta.

 

6. Harga berkali-kali ganda lebih mahal berbanding 3 Series standard

M3


Untuk sebuah model talaan khas BMW M, tidak hairan apabila tanda harga yang dipaparkan adalah berkali ganda lebih mahal berbanding model standard 3 Series.

Untuk BMW M3 Competition xDrive, ia dijual pada harga bermula dari RM797,860, dan berdasarkan semakan di BMW Shop Online, anda boleh dapatkan M3 Competition xDrive pada harga bermula dari RM751,800 dengan bulanan serendah RM11,468 sahaja.
 

M3


Sebagai perbandingan, ini merupakan senarai harga untuk BMW 3 Series:

BMW 320i M Sport - RM263,600
BMW 330e M Sport - RM278,600
BMW 330i M Sport - RM299,600
BMW 330Li M Sport - RM305,600

Jadi, sesudah menepuk dada, silalah bertanyakan khabar akaun bank anda. 

Berita Berkenaan

Berita Global
Atas kertas, sedan berprestasi tinggi dengan trenkuasa plug-in hybrid itu sememangnya mampu untuk…
Model Terbaharu
Sayang sekali, penawaran transmisi manual yang terdapat pada model 'asas' BMW M3 dan BMW M4 tidak…