Padah isi minyak satu jam, pemandu lori tangki ditahan

oleh Penyumbang Rencana|
Padah isi minyak selama satu jam, pemandu lori tangki ditahan.

Tindakan mencurigakan suspek di sebuah stesen minyak di Shah Alam pada Rabu membawa kepada serbuan oleh sepasukan penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor.

Ketua Sektor Operasi Seksyen Penguatkuasaan KPDN Selangor, Mohd Shahran Mohd Arshad berkata, pihaknya bertindak hasil tinjauan berkala oleh pasukan risikan KPDN Selangor di kawasan-kawasan yang menjadi ‘hot spot’.

Jelasnya serbuan terbabit di bawah OPS TIRIS 5.0 yang memfokuskan kepada membanteras aktiviti yang disyaki terbabit dengan penyelewengan subsidi bahan api diesel.

“Sebaik tiba di lokasi, anggota serbuan mendapati, sebuah lori tangki dipercayai ada membuat pengisian minyak selama hampir satu jam.

“Susulan itu, anggota serbuan membuat pemeriksaan ke atas lori tangki terbabit dan turut menemui seorang pemandu lori yang mengendalikannya.

“Pemeriksaan lanjut ke atas lori tangki mendapati ada pengubahsuaian pada struktur badan lori tangki yang dipercayai untuk membuat pengisian bahan api jenis diesel yang dibeli daripada stesen-stesen minyak yang dilawati.

“Pengubahsuaian itu disyaki untuk tujuan penyelewengan/menjualnya demi mengaut keuntungan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mohd Shahran berkata  siasatan dan pemeriksaan awal ke atas tahanan(pemandu lori) mendapati, sebanyak 12 kali transaksi dibuat dalam satu-satu masa pada satu.

“Perkara ini juga disemak silang bersama dengan cetakan resit yang dikeluarkan melalui sistem daripada stesen minyak yang diserbu dan dikesan mencecah ribuan liter pengisian dilakukan.

“Pemeriksaan seterusnya dibuat terhadap stesen minyak yang juga lokasi serbuan.

“Tindakan arahan mengisytiharkan stok dan mengemukakan maklumat/dokumen mengikut Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961 dikeluarkan kepada pemandu lori dan pihak stesen minyak pada hari sama,” katanya.

Beliau berkata, tiga individu ditahan termasuk pemandu lori, seorang lelaki tempatan lingkungan 50 tahun dan dua pekerja stesen minyak iaitu lelaki Bangladesh berumur lingkungan 30-an.

“Kesemua mereka ditahan untuk keperluan siasatan lanjut bagi rakaman percakapan mengikut Seksyen 10(1)(a) Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Pasukan turut menyita sebuah lori tangki bersama badan lori, bahan api disyaki diesel (berada di dalam badan lori), dokumen perniagaan dan urus niaga mengikut dan lain-lain yang relevan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Anggaran keseluruhan bahan api disyaki diesel di dalam kes ini mencecah 10,000 liter dengan nilai subsidi dianggarkan dapat diselamatkan daripada diseleweng mencecah puluhan ribu ringgit. Anggaran keseluruhan nilai sitaan mencecah RM500,000,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan siasatan akan memfokuskan untuk mengenal pasti individu/ syarikat serta rantaian pengedaran bekalan minyak diesel subsidi termasuk sumber bekalan minyak diesel subsidi ini diperoleh dan diedarkan.

 

BuletinTV3

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Dalam kejadian jam 1.38 tengah hari, dua beranak itu dikatakan tersepit di tempat duduk penumpang…
Berita Domestik
  Menurutnya, siasatan mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika lori tangki menghala ke arah…
Berita Domestik
  "Sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai ke lokasi kejadian dengan dibantu BBP…